Monday, August 22, 2011

Bantu Polis Cari 4 Lelaki Ini

Polis Besut kelmarin mengedarkan lakaran wajah empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes jenayah jalanan iaitu ragut termasuk samun yang berlaku di daerah ini sejak Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, polis percaya semua lelaki berketurunan Melayu terbabit berumur lingkungan 30-an ke bawah.

Menurutnya, lakaran wajah tiga suspek tersebut diperoleh daripada mangsa membabitkan kes samun di Kampung Gong Bayor, Gong Duek dan terbaru, kes samun bersenjata membabitkan seorang guru wanita di Kampung Pangkalan Sentul, Jertih, Selasa lalu.

“Sebanyak lima kes samun berlaku sepanjang Julai dan Ogos lalu membabitkan kerugian lebih RM15,000 dan hasil kerjasama mangsa, polis memperoleh gambar lakaran dipercayai mirip suspek yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya.

Kamaruddin berkata, mereka dipercayai kumpulan sama dan polis giat memburu suspek terbabit.

Katanya, walaupun setiap gambar lakaran tidak tepat seratus peratus tetapi ia diharap dapat membantu polis mengesan dan menjejaki suspek.

No comments:

Post a Comment