Monday, August 22, 2011

PAS Perlu Rasional Isu Jawatankuasa Terpilih Parlimen

Pembangkang, terutamanya PAS, diminta bersikap lebih rasional dengan menyokong penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk menambah baik sistem pilihan raya negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata menolak penubuhan jawatankuasa itu menunjukkan mereka cuba menidakkan usaha kerajaan untuk memperbaiki sistem pilihan raya.

"Dalam mana-mana sistem pilihan raya dalam dunia, tak ada kesempurnaan, ada kelemahannya. Ini sistem buatan manusia, tapi usaha kerajaan untuk baikinya sepatutnya dapat sokongan.

"Kita minta PAS lebih rasional dan tidak membuat satu ketetapan bahawa pilihan raya hanya boleh diadakan selepas jawatankuasa ini selesai jalankan kerjanya untuk penuhi hasrat semua orang," katanya di Kemaman, semalam.

Terdahulu, Ahmad Shabery, yang juga Anggota Parlimen Kemaman, menyampaikan Bantuan Dana Hari Raya kepada penduduk kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Puteh.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa meskipun Jawatankuasa Terpilih Parlimen sedang bersidang.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata ini menunjukkan ketidakikhlasan Barisan Nasional dan melambangkan sikap berpura-pura kerajaan terhadap tuntutan rakyat agar sistem pilihan raya yang bersih dan adil dapat diwujudkan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Shabery berkata berapa lama masa yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawabnya, tidak dapat dipastikan.

"Kita tak tahu berapa lama kerja-kerja tu akan selesai, kalau berlarutan sampai dua tiga tahun takkan tak ada pilihan raya umum lepas tu?

"Pokoknya jawatankuasa ini tak boleh atasi Perlembagaan. Perlembagaan negara izinkan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh yang berkenaan. Tak ada dalam Perlembagaan yang kata pilihan raya umum hanya boleh dibuat selepas jawatankuasa ini bersidang," katanya.

Beliau berkata tidak mustahil jawatankuasa berkenaan mengambil masa yang lama disebabkan banyak isu yang ingin dikaji semula, termasuk soal pertindihan senarai pendaftar, larangan pemasangan poster dan perarakan parti-parti bertanding dan sebagainya.

"Kita harap semua pihak lebih rasional dalam membuat kenyataan kerana apabila kerajaan bersedia untuk menubuhkan jawatankuasa ini, ia tanda keikhlasan kerajaan untuk perbaiki sistem pilihan raya," katanya.

No comments:

Post a Comment