Thursday, August 4, 2011

Beri Laluan Ambulans, Kereta Pegawai Bank Dirempuh

Kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Gong Kapas, Kuala Terengganu, semalam.

Akibat memberi laluan kepada ambulans di persimpangan lampu isyarat, seorang pegawai bank dan isterinya nyaris maut apabila kereta mereka dirempuh kenderaan lain di Gong Kapas semalam.

Kejadian berlaku pukul 11.30 pagi ketika mangsa, Mohd. Haslin Ibrahim, 34, dalam perjalanan dari arah Kampung Paloh untuk menghantar isterinya, Salina Salleh, 31, ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kuala Terengganu.

Salina ketika ditemui berkata, kereta Proton Waja yang dipandu suaminya itu berhenti di lorong paling kanan kerana lampu isyarat merah sebelum sebuah ambulans muncul dari arah belakang sambil membunyikan siren.

Ketika itu, katanya, suaminya segera membelok ke kiri untuk memberi laluan namun tiba-tiba, sebuah kereta Perodua MyVi dari sebelah kiri terus melanggar kereta pasangan itu.

"Kereta kami kemudian terbabas sehingga merempuh sebuah Proton Wira di arah bertentangan yang turut berhenti kerana lampu isyarat merah, sementara MyVi berkenaan melanggar tiang lampu isyarat," katanya ketika ditemui di semalam.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kesemua mangsa yang terlibat tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan siren kecemasan sama ada ambulans, polis atau bomba.

"Pemandu harus berwaspada dengan siren kecemasan tidak kira ambulans atau bomba bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya.

No comments:

Post a Comment