Thursday, August 4, 2011

Kuih Tradisional Dapat Sambutan Di Bazar Ramadan

Ulat bulu, locong, menganang telur dan pukat buruk, mungkin nama-nama itu kedengaran agak pelik dan ramai tertanya-tanya apakah benda tersebut.

Namun sebenarnya ia bukan sejenis ulat mahupun alat menangkap ikan sebaliknya antara nama-nama kuih tradisional yang agak jarang dikenali dan banyak dijual di bazar Ramadan di Terengganu sepanjang bulan puasa ini.

Peniaga bazar Ramadan, Rohayu Alias, 26, berkata setiap tahun beliau menjual kuih-muih pada bulan puasa dan antara kuih yang dijual termasuk kuih menganang telur yang diperbuat daripada tepung gandum dan telur.

"Kebiasaannya saya menjual kuih baulu, namun pada bulan puasa kuih menganang telur ini lebih mendapat sambutan dan mendapat permintaan yang tinggi.

"Dalam sehari, saya boleh jual 300 biji menganang dengan harga sebiji RM2.50 malah saya boleh balik sebelum waktu berbuka kerana kuih sudah habis dijual," katanya yang menjual di Bazar Ramadan Batu Buruk sejak dua tahun yang lalu.

Sementara itu, seorang lagi penjual kuih, Nur Masjidil Aina Wahab, 36, berkata selain kuih karipap, apam, dan seri muka, kuih tradisional seperti kuih ulat bulu turut laris dijual kerana keunikan dan keenakan rasanya.

Kuih ulat bulu diperbuat daripada campuran tepung pulut dan tepung pulut hitam manakala bentuknya seperti kuih onde-onde tetapi berbentuk seperti ulat bulu.

Beliau berkata kuih itu boleh didapati dalam pelbagai warna seperti hijau, hitam dan coklat malah terdapat juga inti kacang merah di dalam kuih itu.

Selain kuih tempatan, terdapat juga kuih baru yang jarang ditemui seperti kuih tradisional dari Thailand iaitu kuih Locong.

Menurut penjualnya, Ibrahim Abu Bakar, 42, beliau mendapat bekalan kuih itu daripada seorang temannya berasal dari Thailand yang sudah lama menetap di Terengganu dan menjualnya dengan harga RM1.50 sebungkus.

"Kuih ini diperbuat daripada debu sagu dan air gula di dalamnya terdapat buah kabung atau nangka.

"Cara untuk memakannya ialah seperti cendol dengan berkuahkan santan. Makanan ini lebih sedap dimakan sejuk iaitu meletakkan ais bersama-sama santan sebelum dimakan," katanya.

Kata Ibrahim lagi, buat masa sekarang, hanya dia yang menjual makanan tersebut di Bazar Ramadan Shahbandar.

No comments:

Post a Comment