Friday, August 26, 2011

FAMA Jamin Bekalan Mencukupi Menjelang Aidilfitri

Pengguna di negeri ini tidak perlu bimbang kekurangan bahan keperluan menjelang Aidilfitri kerana pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah menyediakan stok bekalan yang mencukupi.

Pengarah Fama negeri, Haji Hasan Jusoh berkata, antara barangan keperluan termasuklah ayam, daging, ikan, sayuran dan buahan.

“Fama menyediakan stok bekalan ayam sebanyak 20 peratus untuk keperluan di musim perayaan serta mengedarkan 370 metrik tan (mt) sayur. ayam, ikan dan daging setiap minggu bernilai RM2.5 juta,” katanya sempena pelancaran Pasar Tani Khas Pra Aidilfitri ,program ‘Jimat Belanja Dapur’ di tapak Pasar Tani Mega (PTM) Padang Hiliran, Kuala Terengganu kelmarin.

Katanya, Pasar Tani Mega Padang Hiliran akan beroperasi mulai 27 hingga 29 Ogos untuk memberi peluang orang ramai mendapatkan bekalan keperluan persiapan menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, terdapat tiga PTM telah diwujudkan termasuklah di Kerteh, Kemaman dan Jertih, Besut dan PTM Padang Hiliran telah mencapai nilai jualan lebih RM3.1 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Pasar tani Permint Jaya berjaya mengutip nilai jualan RM1 juta dan pasar tani Jalan Budiman beroleh RM286,130 dalam tempoh yang sama,” katanya.

Katanya, Fama juga akan membuka lima buah lagi pasar tani baru tahun ini antaranya di Cukai, Kemaman yang dibuka 1 April lalu, Pulau Serai, Dungun (9 April), Kuala Telemong, Hulu Terengganu (3 Jun), Kuala Dungun, Dungun (24 Jun) dan Gong Badak, Kuala Terengganu dijangka pada September depan.

Berdasarkan pertambahan tapak pasar tani baru pihaknya mensasarkan dapat melahirkan 1,200 usahawan seluruh negeri sehingga akhir tahun ini.

Teganukita

No comments:

Post a Comment