Friday, August 26, 2011

Pelajar Maut, Rakan Parah Motosikal Terbabas Langgar Penghadang Jalan

Seorang pelajar Tingkatan Empat terbunuh manakala rakannya parah apabila motosikal yang ditunggangi mereka terbabas di kilometer 33 Jalan Jerteh-Keruak, dekat kampong Berangan, Hulu Besut petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Aiman Ismail, 16 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut akibat kecederaan di bahagian kepala dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.

Nur Aiman yang membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar disahkan meninggal dunia sebaik sahaja sampai di Klinik Pasir Akar, Hulu Besut.

Rakannya, Mohd Khiri Awafi Nordin, 18 yang merupakan pelajar Tingkatan 6 Bawah di sekolah sama yang menunggang motosikal berkenaan cedera di tangan kanan dan bahagian muka dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Kamaruddin berkata Mohd Khiri Awafi menunggang motosikal kepunyaan Nur Aiman dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Keruak, Hulu Besut.

“Sebaik tiba di satu selekoh berdekatan Kampung Berangan, mangsa dipercayai tidak dapat mengawal motosikalnya kerana jalan ketika itu licin ekoran hujan renyai sebelum itu,” katanya.

Katanya, motosikal yang ditunggangi Mohd Khiri Awafi terbabas sebelum melanggar penghadang jalan hingga menyebabkan Nur Aiman tercampak beberapa meter.

Kedua-dua pelajar itu dikejarkan ke Klinik Pasir Akar oleh orang ramai.

No comments:

Post a Comment