Wednesday, August 3, 2011

Kilang Bijih Besi Baharu Perwaja Akan Cergaskan Semula Industri Keluli

Keputusan Perwaja Holdings Bhd membina kilang pemekatan dan pempeletan bijih besinya sendiri di Kemaman, Terengganu dijangka mencergaskan semula industri keluli tempatan, kata seorang penganalisis industri.

Antara manfaat untuk industri itu ialah mengurangkan pergantungan ke atas import pelet bijih besi, kata Penganalisis Kanan MIDF Research, Syed Muhammad Kifni Syed Kamaruddin.

Perwaja juga mendapat keuntungan dari segi kos, katanya yang menambah, tiada perubahan boleh dijangkakan dari segi harga keluli memandangkan harga bahan itu mengikuti harga antarabangsa.

Cara lain bagi industri tempatan itu dapat memperoleh manfaat ialah penstabilan bekalan keluli dalam pasaran tempatan," katanya kepada Bernama pada Selasa.

Ini bagaimanapun, boleh dicapai jika jumlah keluli yang tepat dikeluarkan tanpa menjejaskan harga.

Perwaja yang merupakan antara pengeluar terbesar produk keluli utama negara seperti bilet, membekalkan produknya secara terus kepada pengeluaran hiliran dalam pasaran tempatan dan luar negara, termasuk Timur Tengah.

Perwaja juga baru-baru ini mengumumkan ia sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk melombong bijih besi, bahan asas yang digunakan untuk membuat keluli, di Bukit Besi, kira-kira 80km dari kilang yang dicadangkan itu.

Cadangan itu masih dalam pertimbangan kerajaan negeri Terengganu.

Bukit Besi mempunyai kira-kira 50 juta tan deposit bijih besi mentah, atau sekurang-kurangnya 12 tahun bekalan berdasarkan keperluan kapasiti penuh Perwaja sebanyak empat juta tan bijih besi mentah setahun untuk kilang itu.

OSK Research dalam laporannya berkata jika Perwaja memperoleh lesen perlombongan, ia boleh menjimatkan kos lebih daripada US$100 setan bijih besi mentah.

Perkiraan itu adalan berasaskan pada harga semasa bijih besi mentah yang diimport pada US$160 setan berbanding kos perlombongan tempatan yang mungkin kurang daripada US$50 setan, katanya.

Oleh itu, jika memperoleh konsesi perlombongan itu bermakna pendapatan lumayan kepada syarikat pengeluar keluli itu selepas mengambil kira jumlah pengurangan kos yang akan diperoleh jika mengurus operasi lombong bijih besi sendiri dan memprosesnnya, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perwaja Tan Sri Abu Sahid Mohamed pada Sabtu berkata kilang baharu syarikat itu memerlukan dua juta tan bijih besi mentah setahun untuk beroperasi pada kapasiti maksimum untuk menghasilkan 1.2 juta tan pelet bijih besi apabila fasa pertama siap tahun depan.

Keperluan itu akan meningkat kepada empat juta tan bijih besi mentah setahun bagi mengeluar 2.4 juta tan pelet apabila fasa keduanya siap pada 2013.

Berdasarkan keperluan semasa operasi penuh, syarikat akan menjimatkan sehingga RM840 juta setahun, termasuk 20 peratus atau RM600 juta kos bahan mentah.

Ia juga akan mengurangkan pendedahan syarikat kepada naik turun harga pelet bijih besi import.

Abu Sahid berkata ia juga menyediakan bekalan dan harga yang stabil dalam pasaran tempatan, yang kini didominasi oleh tiga peserta antarabangsa utama.

No comments:

Post a Comment