Wednesday, August 24, 2011
Harga Ikan Di Terengganu Sama Dengan Negeri Lain
Sidang DUN 22-23 Ogos 2011
Harga ikan di negeri ini hampir sama dengan negeri lain walaupun ia agak mahal kebelakangan ini, terutama menjelang bulan Ramadan lalu.
Sebagai contoh, ikan merah dijual di Terengganu dengan harga RM30 sekilogram, sama dengan harga di Kelantan, tetapi berbeza sedikit dengan Pahang, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang di mana harganya RM25 sekilogram.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A. Rahman Mokhtar, berkata ikan selayang pula dijual RM8 di Terengganu manakala di Kelantan dan Pahang RM7, tetapi di Kuala Lumpur RM9 dan Pulau Pinang RM10.
“Kerajaan sedar dengan kenaikan harga ikan di pasaran tempatan, tetapi ia tidak dapat dielakkan kerana terdapat banyak sebab yang mendorong kenaikan harganya,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Haji Harun Taib (Pas-Manir) pada sidang Dewan Undangan Negeri, semalam.
YB Dr A. Rahman berkata, antara punca tersebut ialah jumlah tangkapan ikan yang merosot disebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu dan kuantiti pendaratan hasil tangkapan nelayan yang menurun.
Selian itu, ia juga disebabkan kenaikan kos bahan api dan peralatan menangkap ikan yang terpaksa ditanggung nelayan dan pengusaha laut dalam serta perkembangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang melonjakkan permintaan untuk bekalan ikan.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan bertindak mengimport bekalan ikan dari luar bagi menampung permintaan tempatan, sekaligus membantu menurunkan harga ikan.
“Kerajaan juga sedang giat menyediakan habitat baru ikan berupa tukun tiruan bagi tujuan ikan dan marin membiak,” ujarnya.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment