Wednesday, August 24, 2011

Kerosakan Di Sek Keb Gong Kapas Akan Diatasi Tidak Lama Lagi - Exco

Masalah atap bocor, pendawaian elektrik usang dan siling runtuh yang membelenggu Sekolah Kebangsaan Gong Kapas di Kuala Terengganu dijangka berakhir tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pihaknya sedang menunggu laporan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum melakukan kerja membaik pulih.

"Kita sedang menunggu laporan teknikal dan pandangan JKR sama ada kerja membaik pulih boleh dijalankan ataupun bangunan sekolah yang usang itu perlu dirobohkan dan diganti dengan yang baru," katanya, di Kuala Terengganu.

Beliau yang meminta persatuan ibu bapa dan guru sekolah berkenaan agar bersabar juga berkata sebanyak RM180,000 telah diperuntukkan untuk tujuan itu.

Bernama sebelum ini melaporkan lebih 100 pelajar tahun dua dan tiga sekolah tersebut terpaksa belajar dalam keadaan yang berisiko dan berbahaya setiap hari.

Ini kerana kelas yang menempatkan mereka termasuk sebuah kelas pendidikan J-Qaf mengalami kerosakan yang teruk seperti atap bocor, masalah elektrik dan lebih membimbangkan sebahagian siling di kelas berkenaan telah runtuh.

Ekoran itu, mereka terpaksa ditempatkan di Bengkel Kemahiran Hidup dan bilik muzik, malah ada kala terpaksa berpindah-randah setiap kali kelas lain ingin menggunakan bilik terbabit.

Sekolah Kebangsaan Gong Kapas yang berusia kira-kira 64 tahun itu pernah memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang peringkat negeri pada 2009 dan kini mempunyai 417 murid.

No comments:

Post a Comment