Monday, August 1, 2011

IRM Sediakan Bantuan Fakir Miskin, Ibu Tunggal & OKUatim, OKU

Siti Normala Ayub bersama anak-anaknya menerima sumbangan menerusi program kemanusiaan Jejak Prihatin Peringkat Negeri di Marang, kelmarin.

Siti Normala Ayub, 28, dari Taman Rahmat, Pulau Kerengga dekat sini sanggup membawa lima anaknya sejauh satu kilometer dengan motosikal yang dipinjam daripada jiran hanya semata-mata ingin mendapatkan bekalan makanan bernilai RM50 yang disumbangkan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) hari ini.

Menurut suri rumah itu, kesanggupan itu berbaloi apabila sumbangan beras, gula, tepung, minyak masak, sardin dan kurma itu cukup bagi menampung keperluan dan mengisi perut keluarga mereka untuk beberapa minggu jika digunakan secara berjimat sepanjang Ramadan ini.

"Walaupun sumbangan ini tidak banyak dan tidak cukup untuk sebulan, namun saya bersyukur sebab dapat meringankan beban suami yang hanya melakukan kerja kampung.

"Jika tahun lalu kami kempunan untuk berbuka puasa dengan buah kurma, namun Ramadan kali ini saya amat gembira kerana IRM turut memberi sebungkus kurma setiap orang. Saya menganggap ia rezeki anak-anak," katanya ketika ditemui di Balai Raya Taman Rahmat dekat sini, semalam.

Siti Normala merupakan antara 100 penerima bantuan pek makanan sumbangan IRM melalui program kemanusiaan Jejak Prihatin Peringkat Negeri Terengganu.

Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud Al-Muktabillah Shah selaku Presiden Kelab Motosikal Kuala Terengganu hadir menyampaikan sumbangan serta mengunjungi rumah penerima bantuan tersebut bersama 80 sukarelawan.

Program yang diadakan setiap Ramadan sejak beberapa tahun lalu itu bertujuan membantu fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang layak mengikut kriteria ditetapkan IRM.

Menurut Presiden IRM, Zawahir Abdullah, sejak awal tahun lalu, lebih 2,000 bungkusan pek makanan bernilai RM50 diagihkan kepada golongan berkenaan di seluruh negara.

Katanya, pada tahun ini, IRM menyasarkan membantu 5,000 keluarga yang kurang berkemampuan serta OKU menerusi program tersebut.

Katanya, program itu turut melibatkan kempen kutipan dana daripada orang ramai bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Bagi mereka yang ingin turut membantu meringankan beban golongan yang memerlukan ini, boleh menghulurkan bantuan dengan menyumbang satu pek makanan bernilai RM50 kepada mereka," katanya.

Katanya, orang ramai boleh melayari laman web rasmi IRM iaitu www.irm.org.my atau menghubungi talian 03-89485939 bagi menghulurkan bantuan atau boleh menyumbang terus ke akaun Maybank IRM 564070002424 atau akaun CIMB 12470000477108.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment