Wednesday, August 24, 2011
Isi Borang Balik Kampung Sebelum Bercuti - Polis
Orang ramai dinasihatkan supaya mengisi borang balik kampung bagi memastikan keselamatan rumah mereka sewaktu pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, ia adalah antara usaha berkesan pihaknya untuk membanteras kegiatan jenayah yang sering berlaku apabila musim perayaan.
"Langkah turun padang untuk bertemu sendiri dengan masyarakat merupakan langkah terbaik kerana kita dapat maklum balas daripada orang ramai.
"Ia juga sebagai satu peringatan tentang betapa pentingnya kerjasama masyarakat dalam menutup ruang dan peluang penjenayah," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, semalam.
Tambah Jamshah, pihaknya akan membuat rondaan dan pemantauan secara lebih kerap sepanjang ketiadaan mereka.
"Apa yang diharapkan daripada kempen Rumah Selamat yang diadakan setiap kali menjelang musim perayaan, dapat mengekalkan rekod cemerlang seperti kempen-kempen terdahulu.
"Program ini ternyata memudahkan perancangan dan penugasan polis dalam membanteras jenayah sekiranya kerjasama erat masyarakat dan polis kekal terjalin," katanya lagi.
Menurutnya, selain mengisi borang, orang ramai juga boleh memaklumkan ketiadaan mereka di rumah dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berdekatan.
"Borang tersebut juga boleh dimuat turun di laman laman sesawang www.sjalert.com.my dan hantar ke balai berhampiran,” jelasnya.
Sebelum meninggalkan rumah masing-masing katanya, tinggalkan nombor telefon kepada pihak yang dirasakan perlu seperti Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar sebarang kejadian dapat dihubungi dengan segera.
"Saya berharap masyarakat turut menjadi tulang belakang kepada polis dalam usaha membanteras kegiatan jenayah daripada berlaku terutamanya ketika musim perayaan," katanya.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment