Kakitangan dan pelawat di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini gempar apabila diarah mengosongkan bangunan itu dengan segera gara-gara panggilan bom palsu yang diterima pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi setelah polis menerima panggilan daripada seorang individu yang memaklumkan terdapat sebutir bom di tingkat sembilan bangunan itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Halim Ishak berkata, sejurus menerima maklumat itu, satu pasukan Unit Pemusnah Bom diarahkan ke lokasi kejadian.
Katanya, hasil pemeriksaan hampir setengah jam di seluruh bangunan mendapati tiada bom ditemui.
"Kita tidak pasti apa motif individu berkenaan membuat panggilan palsu dan tidak berasas ini namun kita telah mengesan nombor talian yang telah digunakan iaitu melalui talian telefon bimbit.
"Siasatan akan diteruskan bagi mengesan perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah itu semalam.
Sementara itu, Pengarah Kompleks Mahkamah, Hakim Zainal Abidin Kamarudin memberitahu, ketika menerima maklumat tentang ancaman bom berkenaan, mahkamah baru mula bersidang.
Katanya, sebaik sahaja menerima panggilan tersebut kesemua pelawat dan kakitangan diarah keluar dari bangunan itu dengan segera.
No comments:
Post a Comment