Thursday, August 25, 2011

Pusat Minda Besut Lakar Sejarah Kerjasama Dengan USM

Pusat Minda Besut semalam mencatat sejarah apabila menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha memantapkan lagi pusat berkenaan.

Pengerusi Pusat Minda Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, jalinan kerjasama itu bukan sahaja membuka jalan kepada masyarakat khususnya pelajar untuk mengikuti program berkaitan pembangunan minda bagi merealisasikan generasi ulul albab.

Menurutnya, perjanjian yang termeterai membolehkan usahasama dilakukan termasuk dalam bidang penyelidikan ke arah mencetuskan perubahan minda.

“Diharapkan Pusat Minda Besut bukan sahaja memberi faedah kepada Besut tetapi kepada rakyat negeri dan negara ini,” katanya dalam majlis yang diadakan di Bukit Keluang Beach Resort di sini kelmarin.

USM diwakili Pengarah Kampus Kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Profesor Datuk Dr Mafauzy Mohamed manakala Pusat Minda Besut, Idris sendiri.

Pusat Minda Besut adalah cetusan ilham Idris yang juga Adun Jertih merangkap Ketua UMNO Bahagian Besut.

Pusat yang beroperasi di Bangunan UMNO Jertih ini bertujuan mencetus perubahan minda dalam kalangan masyarakat ke arah generasi ulul albab, pintar, kreatif dan inovatif.

Sebelum ini pelbagai program sudah dilaksanakan oleh Pusat Minda bersama USM melibatkan pelajar dan ibu bapa.

No comments:

Post a Comment