Thursday, August 25, 2011

Lembaga Tabung Amanah Warisan Tawar Ambil Alih EPIC?

Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAW) mengemukakan tawaran bagi mengambil alih sepenuhnya syarikat penyedia perkhidmatan minyak, Eastern Pacific Industrial Corp Bhd (EPIC).

Tabung amanah kerajaan negeri Terengganu itu semalam mengemukakan notis tanpa syarat untuk membeli 32.76 peratus baki saham yang tidak dimilikinya dalam syarikat itu pada harga RM111.507 juta atau RM3.10 sesaham.

Harga ditawarkan itu adalah premium 12.6 peratus berbanding harga urus niaga terakhir saham EPIC sebelum urus niaganya digantung tengah hari semalam pada RM2.93 sesaham.

LTAW tidak bercadang mengekalkan status senaraian awam syarikat penyedia minyak itu jika tawaran itu berjaya.

EPIC dalam kenyataannya di Bursa Malaysia semalam berkata, pihaknya menerima notis tawaran pengambilalihan itu daripada LTAW dan unitnya iaitu Pembinaan PTB Sdn Bhd (PPTB) yang memiliki 22.55 peratus atau 37.60 juta saham.

Pihak lain yang memiliki kepentingan bersama dengan LTAW dan PPTB dalam EPIC ialah Terenggganu Incorporated Sdn Bhd dan tiga lagi pihak, sekali gus mempunyai percantuman kepentingan bersama sebanyak 67.24 peratus.

Dalam notis tawaran berkenaan, LTAW dan PPTB antara lain menawarkan pampasan tunai kepada pemegang saham EPIC yang menjual saham mereka di antara 10 Disember 2010 dan 23 Ogos 2011.

Ia berkata, pampasan tunai yang ditawarkan itu adalah bersamaan perbezaan antara harga tawaran pengambilalihan iaitu RM3.10 sesaham berbanding harga saham yang sudah dijual sebelum ini.

Pada 4 November 2010, LTAW dan Ahmad Zaki Resources Bhd memeterai perjanjian jualan saham untuk memperoleh 35.97 juta saham atau 21.26 peratus dalam EPIC bernilai RM111.51 juta yang membabitkan RM3.10 sesaham, sekali gus meningkatkan penguasaan LTAW dalam EPIC kepada 22.55 peratus daripada 0.98 peratus.

EPIC adalah syarikat pegangan pelaburan terbabit menguruskan pangkalan bekalan petroleum, menyedia dan mengekalkan khidmat serta kemudahan pelabuhan di Malaysia.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment