Wednesday, August 24, 2011

Sambal Belacan, Agar-agar Telur Campur Jagung Punca Keracunan Isteri Wakil Rakyat BN

Imbas kembali...Dr Rahman melawat salah seorang mangsa keracunan makanan di HSNZ, Kuala Terengganu selepas kejadian itu baru-baru ini.

Sidang DUN 22-23 Ogos 2011


Agar-agar telur campur jagung dan sambal belacan antara punca 70 isteri wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang menyertai program tahunan di sini 8 Julai lepas, mengalami keracunan makanan (untuk lebih lanjut baca di sini).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr A Rahman Mokhtar berkata rumusan itu hasil ujian ke atas 43 sampel makanan yang dihidangkan pada jamuan tengah hari di Stadium Negeri.

"Kelemahan mengenai cara penyediaan makanan yang betul juga menjadi punca isteri-isteri wakil rakyat BN berkenaan mengalami keracunan makanan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau menjawab soalan Dr Alias Razak (PAS-Bukit Tunggal) yang mahukan penjelasan berhubung punca keracunan makanan yang dialami isteri wakil rakyat BN berkenaan.

Pada 8 Julai lepas 70 isteri wakil rakyat dari seluruh negara yang menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011 mengalami keracunan selepas menikmati makan tengah hari.

Kesemua mangsa mula mengalami simptom keracunan makanan kira-kira pukul 1 pagi apabila sebilangan daripada mereka muntah dan cirit-birit sehingga ada yang terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan.

Dr A Rahman berkata antara kelemahan penyediaan makanan yang dikesan ialah penyedia makanan tidak menjaga kebersihan diri, peralatan yang diguna tidak bersih serta makanan disediakan terlalu awal menyebabkan berlaku pencemaran.

No comments:

Post a Comment