Seorang penduduk, Fatimah Musa bersama anaknya, Mohd. Nazor Abd. Bakar mengemas rumahnya akibat ribut di Kampung Pulau Kerengga, Marang, Terengganu,kelmarin.
Kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi 14 buah keluarga di Kampung Pulau Kerengga dekat sini, terjejas apabila rumah mereka rosak dipukul ribut, petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang kelmarin itu menyebabkan tiga daripada rumah berkenaan rosak teruk dan terpaksa menanggung kerugian RM15,000.
Menurut penduduk, kejadian berlaku dengan pantas apabila hujan lebat yang turun hanya beberapa minit secara tiba-tiba membawa angin kencang sehingga menerbangkan atap rumah serta memusnahkan beberapa barangan dan perhiasan di dalam rumah penduduk.
Seorang penduduk yang ditemui, Ramli Bakar, 53, berkata, ketika kejadian, semua ahli keluarganya berada di dalam rumah dan menyaksikan angin menerbangkan atap rumah mereka.
Katanya, ketika itu dia hanya mampu melaungkan azan dan berdoa agar ahli keluarga selamat.
"Sebelum kejadian saya berada di luar rumah dan ketika itu hanya hujan renyai-renyai sahaja namun beberapa minit kemudian menjadi semakin lebat.
"Saya lihat angin berpusing-pusing sebelum menerbangkan atap di bahagian depan rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Marang semalam.
Seorang lagi mangsa ribut, Usman Umar, 50, berkata, dia tidak menyangka hujan renyai-renyai pada petang itu membawa ribut dan menyebabkan bumbung rumahnya musnah.
"Pada mulanya saya ingat hanya angin biasa sahaja namun makin lama makin kuat sehingga menerbangkan atap rumah.
"Ketika itu saya minta anak- anak saya lari ke rumah ibu saudara mereka yang berada berhampiran rumah untuk menyelamatkan diri," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Datuk Yahya Khatib telah mengarahkan pihak berwajib agar membuat penilaian serta mengemukakan laporan mengenai kejadian itu.
"Kita akan memberikan bantuan kepada mangsa terlibat bagi meringankan beban mereka untuk membaiki kerosakan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment