Wednesday, September 28, 2011

Jabatan Bomba Cadang Tambah Balai Bomba Baru Di Seluruh Negara

Jabatan Bomba dan Penyelamat bercadang menambah 30 balai bomba baru di bawah rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), kata Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Katanya penambahan balai bomba baru itu adalah untuk memberi perkhidmatan yang lebih pantas dan berkesan di setiap negeri di seluruh negara.

Antara negeri yang memerlukan balai bomba yang baru ialah Pahang, Johor, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang mempunyai jumlah penduduk yang tinggi bagaimanapun semuanya bergantung kelulusan kerajaan kelak, katanya.

"Pembinaan balai bomba baru ini penting dan suatu keperluan demi memastikan Jabatan Bomba dan Penyelamat cepat sampai ke lokasi di sebuah kawasan sekiranya berlaku kecemasan atau bencana alam," katanya kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran dan Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata kos pembinaan sebuah balai Bomba dianggarkan berjumlah antara RM2 juta dana RM3 juta yang boleh memuatkan seramai 30 anggota bomba.

Sebagai usaha memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan, jabatan itu akan menambah jumlah anggota bomba dalam masa yang terdekat ini, sehingga kini tedapat 13,000 anggota bomba di 262 buah balai bomba di seluruh negara, katanya.

Pada setiap tahun antara 500 dan 1,000 anggota baru diambil bagi pelbagai jawatan di jabatan tersebut.

No comments:

Post a Comment