Wednesday, September 28, 2011


Pelajar yang bakal menduduki STPM menunjukkan wang tunai RM1,000 yang diterima pada majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Kerajaan negeri tidak pernah menyekat malah, memberikan galakan kepada para pelajar tajaannya yang telah menamatkan pengajian di luar negara membina kerjaya di perantauan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, bagi kerajaan negeri, ia suatu yang membanggakan apabila anak-anak negeri berjaya mencipta kejayaan di luar negara terutama dalam pelbagai bidang profesional.

Menurut beliau, jika peluang untuk membina kerjaya terdapat di luar negara, mereka perlu merebut peluang tersebut bagi menimba pengalaman dan kemahiran serta mencapai apa yang dicita-citakan.

''Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) tidak pernah merasa rugi membuat pelaburan yang besar kerana mahu melihat lebih ramai anak Terengganu berjaya mencipta nama di dalam atau di luar negara.

''Begitupun sikap lupa diri dan bongkak perlu dihindari dan sentiasalah mengingati orang yang membantu mereka sehingga mencapai ke tahap yang membanggakan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu (YT) Kepada Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2011 di Wisma Darul Iman diKuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw dan Pengarah YT, Zakaria Yusof.

Pada majlis itu, Menteri Besar menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 seorang melibatkan 2,156 pelajar di 51 buah sekolah menengah di seluruh negeri yang akan menduduki peperiksaan STPM penghujung tahun ini.

Melalui program bantuan pendidikan YT kepada pelajar STPM, beliau berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan RM8.48 juta membabitkan 8,486 pelajar sejak diperkenalkan pada 2008.

Menurut Ahmad Said, bantuan kewangan ini sebagai galakan dan juga untuk menyediakan keperluan pembelajaran kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan STPM.

Katanya, sejak program tersebut diperkenalkan, prestasi pelajar amat memberangsangkan dan beliau berharap tahun ini Terengganu mampu mencatatkan kecemerlangan buat kali keempat berturut-turut.

''Kerajaan negeri akan lakukan apa saja untuk memberi tambah nilai dalam pendidikan dengan menyedari hanya melalui ilmu dan pendidikan yang cemerlang mampu merubah landskap ekonomi rakyat, negeri dan negara," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment