Wednesday, September 28, 2011

TATiUC Latih Belia Nigeria Tingkat Kesedaran

Program ‘Nigerian Youth Development’ (NYD) yang julung kali dijalankan Kolej Universiti TATi (TATiUC) dengan kerjasama Persatuan Republik Nigeria dan Petmal Oil Holdings (M) Sdn Bhd dijangka akan menggalakkan lagi kerjasama pembangunan antara Malaysia dan Nigeria.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat berkata, program NYD bertujuan membangunkan keyakinan dan kesedaran peserta Nigeria terhadap pendedahan pengalaman oleh pembangunan institusi di Asia sekali gus menggalakkan kerjasama antara dua negara ini.

Katanya, untuk tahun ini seramai 40 belia Nigeria berumur antara 25 hingga 28 tahun yang diketuai wakil daripada NYD akan menjalani latihan kursus ‘Arc Welding Technology’ selama enam bulan di Kampus TATiUC.

“Program ini menjadi platform untuk melatih mereka (belia Nigeria) menjadi ahli yang aktif dalam komuniti mereka nanti.

“Kewujudan program ini juga adalah tanggungjawab sosial yang kita jalankan dalam usaha perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran berguna kepada semua peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis suai kenal Program NYD yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Petmal Oil Holdings (M) Sdn Bhd, Datuk Paduka Long Mohd Nor Affendi.

Hadir sama, Pegawai Petmal Oil Holdings (M) Sdn Bhd, Datuk Ariff Hmdi, wakil daripada NYD, Esywany Amazu dan Timbalan Rektor (Akademik dan Perantarabangsaan), Dr Zunaidi Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mohd Rozailan berkata, Program NYD juga akan membolehkan peserta berkongsi pengalaman berguna sepanjang latihan.

“Bagi program berkenaan, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan akan membantu peserta Nigeria dalam menyediakan pengalaman yang relevan, mewujudkan platform untuk beberapa siri perbincangan dan melatih mereka dengan pendedahan secara langsung khususnya dalam ‘Arc Welding Technology’.

“Diharapkan program ini akan menjadi medium berkesan kepada pemindahan pengetahuan dan pengalaman selain membantu meningkatkan lagi pemahaman peserta dalam bidang kejuruteraan pembuatan,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment