Tuesday, September 27, 2011

Kadar Jenayah 2010 di Terengganu Menurun - Menteri Besar Puji PDRM

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memuji serta menghargai kesungguhan dan komitmen Polis Diraja Malaysia Terengganu yang membuktikan pencapaian cemerlang mereka dalam usaha menurunkan kadar jenayah di negeri ini.

Ini dibuktikan bagi tempoh 2010, Polis Terengganu telah berjaya mencapai kedudukan terbaik dalam menurunkan kadar jenayah indeks dibandingkan dengan negeri lain di seluruh negara.

Bagi 2009 terdapat 5,319 kes jenayah telah dilaporkan berbanding 4,037 kes bagi tempoh sama tahun 2010.

Ini bermakna, kadar jenayah indeks di negeri ini telah dapat diturunkan sebanyak 1,282 kes iaitu bersamaan dengan -24.10 peratus serta telah mencapai kadar yang ditetapkan di bawah NKRA sebanyak 20 peratus.

Ini diakui oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa yang mengatakan kadar jenayah di Terengganu sehingga tempoh akhir bulan Ogos lalu menunjukkan penurunan sebanyak 219 kes iaitu 2,473 kes berbanding 2,692 kes bagi tempoh sama pada 2010.

“Manakala dalam konteks penyelesaian kes pula, terdapat sebanyak 933 kes berjaya diselesaikan dan jumlah ini bersamaan dengan penurunan sebanyak 46.6 peratus,” katanya.

Selain itu, seramai 92 anggota dan pegawai polis yang berkhidmat di Terengganu disiasat kerana melakukan pelbagai kesalahan tatatertib sehingga Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 27 orang merupakan dalam kalangan pegawai manakala 65 orang lagi adalah anggota berpangkat rendah.

“Dalam hal ini, tiga pegawai dan 22 anggota pangkat rendah telah ditahan kerja, manakala 13 yang lain telah digantung kerja sementara menunggu proses siasatan lengkap.

“Di samping itu, empat pegawai dan 34 anggota pangkat rendah telah didapati bersalah dan disabitkan hukuman dalam pelbagai kesalahan tatatertib,” katanya selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulan September 2011 Kontinjen Terengganu di perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurut Jamshah, berdasarkan statistik itu, terdapat seorang pegawai dan lapan anggota disiasat atas kesalahan kes-kes jenayah, tiga kes kesalahan rasuah yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan lima anggota pangkat rendah manakala lima anggota disiasat atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Menyentuh kenaikan pangkat anggota Lans Koperal ke Koperal secara ‘Time Based’ yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada 10 September lalu, Jamshah berkata, seramai 584 anggota berpangkat Lans Koperal seluruh kontinjen Terengganu layak menerima kenaikan pangkat kepada Koperal.

“Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya 457 anggota yang sudah menerima kenaikan pangkat berkenaan manakala 127 anggota lagi yang layak tetapi belum menerima kenaikan pangkat disebabkan masih belum memenuhi syarat perkhidmatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment