Terengganu mengimport jurulatih badminton profesional dari Indonesia, Sunarno Martotiyoso untuk membimbing dan melahirkan pemain berkualiti dan bertaraf dunia dari negeri itu pada masa depan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Zainal Abidin Hussin berkata, jurulatih itu tiba di Terengganu pada 7 September lepas dan tugasan pertama beliau ialah melatih atlet badminton Sukma 2012.
"Kita harapkan Terengganu memperoleh pingat pada sukan itu nanti,” katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Zainal Abidin berkata, Terengganu belum pernah memenangi sebarang pingat di Sukma dalam acara badminton sebelum ini.
Beliau berkata, jurulatih kelahiran Durikosampi Cengkareng, Jakarta Barat itu akan ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Nenas (SSBN) Setiu.
Zainal Abdin berkata, MSN dengan kerjasama Majlis Sukan Sekolah-sekolah Terengganu (MSST) dan Persatuan Badminton Terengganu (PBT) akan mengadakan program memilih bakat baru sukan badminton mulai 10 Oktober ini.
Beliau berkata, tumpuan utama dalam pemilihan itu adalah pemain berumur sembilan dan 14 tahun lelaki dan wanita sebagai persediaan Sukma 2012 dan seterusnya.
Sebelum berkhidmat di Terengganu, Sunarno pernah menjadi jurulatih beberapa pasukan di Indonesia dan Brunei Darussalam.
No comments:
Post a Comment