Aselah (kiri) bersama ibu saudaranya, Minah Mohamad, 85, melihat gambar bapanya yang terkorban ketika mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dari diserang komunis.
Anak konstabel pertahan Bukit Kepong Aselah Jaafar, 62, dari Taman Permint Jaya, Chendering, di Kuala Terengganu hargai keprihatinan kerajaan.
Beliau terharu selepas mendengar Kerajaan Pusat akan membuat bayaran khas RM3,000 kepada bekas anggota, duda dan balu polis khas serta polis tambahan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011, Jumaat lalu.
Anak tunggal Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan, yang terbunuh bersama 17 lagi rakannya ketika mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan komunis pada 1950 itu bercadang menggunakan sebahagian wang bayaran khas oleh Kerajaan Pusat pada Bajet 2012 untuk melakukan upah haji buat arwah ayahnya.
“Pemberian wang bantuan khas itu membuktikan penghargaan Kerajaan Pusat terhadap peranan dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang terkorban ketika mempertahankan negara, tidak seperti pemimpin parti pembangkang yang mengagungkan komunis dipimpin Mat Indera dalam serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 1950.
“Selain membuat upah haji, wang itu juga akan digunakan untuk kenduri doa selamat arwah ayah,” katanya yang menyambut baik langkah kerajaan memberi bayaran khas RM3,000 kepada bekas anggota, duda dan balu polis khas serta polis tambahan, selain kenaikan pencen dua peratus setahun dan bayaran bantuan sebanyak RM500.
Ketika mengulas tindakannya melarikan diri dari rumah apabila mengetahui Mohamad Sabu dan penyokong PAS cuba mengunjunginya dua minggu lalu, Aselah berkata, mereka sekeluarga tidak akan menerima kunjungan pemimpin nombor dua parti itu dan penyokong PAS.
“Selagi nyawa masih di badan, kami tidak akan menerima kunjungan Mohamad Sabu dan pemimpin PAS. Walaupun mereka menawarkan bantuan, kami tidak dapat mengikis rasa kecewa kerana pengorbanan ayah tidak dihargai kepemimpinan parti itu apabila menobatkan pengganas komunis sebagai pejuang negara,” katanya yang berhajat menziarah kubur arwah ayahnya di Bukit Kepong.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Badrulhisham Zaki berkata, pihaknya sedang berusaha membawa Aselah dan keluarga menziarahi kubur ayahnya di Bukit Kepong secepat mungkin.
“Kami sepatutnya membawa Aselah menziarahi kubur ayahnya minggu lalu, tetapi terpaksa dibatalkan kerana dia kurang sihat,” katanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment