Sepakan penalti Abdul Manaf Mamat pada minit ke-88 meletakkan Terengganu mendahului 2-1. - Gambar Harris Fadzilah.
Dua wakil bolasepak Terengganu – T’Team dan Terengganu melepasi halangan pertama masing-masing apabila berjaya memenangi perlawanan Piala Malaysia pusingan pertama suku akhir di Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu.
Di Stadium Likas, T’Team walaupun banyak bertahan mencatat kemenangan hasil dua jaringan Indra Putra Mahayuddin.
Sabah gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri dan menghampakan lebih 15,000 peminatnya yang membanjiri Stadium Likas apabila tumpas 1-2 di tangan T-Team.
Indra Putra, bekas pemain kebangsaan, meletakkan T-Team di hadapan pada minit ke-34 dengan menolak masuk lorongan Zairo Anuar Zailani. sebelum Alto Linus kembali menghidupkan harapan Sabah dengan gol penyamaan pada minit ke-46.
Namun, lima minit sebelum permainan tamat, Indra Putra muncul wira T-Team dengan menjaringkan gol kemenangan bagi memastikan pasukan Pantai Timur itu pulang ke Kuala Terengganu dengan membawa kelebihan satu gol.
Di Kuala Terengganu, pertemuan dua musush tradisi mrmbolehkan Terengganu selesa dengan kemenangan manis 3-1 ke atas juara bertahan, Kelantan yang menyaksikan perlawanan tercemar gara-gara lima kad merah dilayangkan.
Ismail Faruqi meletakkan skuad Penyu mendahului pada minit ke-43 ketika Kelantan bermain dengan sembilan pemain, selepas Shakir Shaari dan Mohd. Daudsu Jamaludin menerima kad merah pada minit ke-31 dan 34.
Kegembiraan Ismail tidak bertahan lama apabila Nafeez menghadiahkan kad merah kepada penjaring gol pertama Terengganu itu pada penghujung separuh masa pertama akibat menerima dua kad kuning.
Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi kembali memastikan Kelantan berada pada landasan apabila menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti pada minit ke-78.
Namun, Terengganu memastikan Kelantan pulang hampa apabila Abdul Manaf Mamat memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-88, sebelum tonggak pertahanan Peteh, Marzuki Yusof menambah derita Red Warriors pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Dua lagi kad merah dilayangkan oleh pengadil sebelum perlawanan berakhir apabila pertahanan Terengganu, Zubir Azmi dan pertahanan Kelantan, Aziz Ismail bergaduh sebelum perlawanan berakhir.
Di Stadium Shah Alam, Selangor yang memburu misi ke-33 pada tahun ini meleburkan rekod tanpa kalah Perak dalam kempen Piala Malaysia selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-1.
Safiq Rahim membuktikan dia masih mempunyai bisa untuk bermain dengan skuad kebangsaan apabila meledak dua jaringan awal melalui sepakan percuma pada minit ke-12 dan ke-57.
Mohd. Amirulhadi Zainal memberikan keselesaan dengan gol ketiga pada minit ke-62 selepas berjaya mengelak diri daripada berada pada kedudukan ofsaid.
Manakala gol saguhati Perak disumbangkan oleh Mohd Failee Mohamad Ghazli pada minit ke-76.
Felda United mengejutkan naib juara Piala Malaysia edisi lalu, Negeri Sembilan menerusi jaringan tunggal Mohd Badrul Azam Mohd Zamri pada minit ke-58 di Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya, Kelana Jaya.
No comments:
Post a Comment