Seorang penyokong Terengganu ditahan kerana melakukan provokasi membaling objek gelas kertas kepada penyokong Kelantan pada perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.
Polis menahan seorang remaja kerana mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan ketika perlawanan suku akhir Piala Malaysia di antara Terengganu dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin berkata, remaja berusia 17 tahun tersebut ditahan bagi mengelak berlakunya kejadian lebih buruk selain sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurutnya, secara keseluruhan keadaan di stadium semasa perlawanan adalah terkawal.
"Kita telah menempatkan seramai 30 pegawai serta 376 anggota pelbagai pangkat termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan," katanya di Kuala Terengganu, semalam
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana tegang kerana dicemari dengan lima kad merah itu disaksikan oleh kira-kira 15,000 penyokong kedua-dua pasukan.
Zamri berkata, dianggarkan antara 2,000 dan 3,000 penyokong tidak dapat memasuki stadium walaupun terdapat di kalangan mereka yang memiliki tiket.
"Penganjur sepatutnya lebih prihatin dan menyediakan skrin besar di luar stadium untuk mereka yang tidak dapat masuk," ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Zamri memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan penempatan penyokong kedua-dua pasukan pada perlawanan kali ini.
"Saya lihat penempatan kali ini lebih teratur dan tersusun jika dibandingkan dengan perlawanan yang sama sebelum ini," katanya.
Utusan
No comments:
Post a Comment