Thursday, October 20, 2011

Demam Denggi Dijangka Meningkat Menjelang Musim Tengkujuh

Kes demam denggi dijangka meningkat menjelang musim tengkujuh tidak lama lagi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata ekoran itu lokaliti pemantauan telah ditambah kepada 59 berbanding 52 lokaliti sebelum ini.

"Jumlah kes denggi tahun ini sehingga pemantauan minggu lepas meningkat sedikit kepada 340 kes daripada 316 kes sepanjang pemantauan pada minggu sebelumnya," kata Dr Hassan kepada pemberita selepas kempen mencegah demam denggi anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Pangsapuri Impian Baiduri di Petaling Jaya.

Beliau berkata antara lokaliti yang dipantau ialah di Flat Pandan Perdana dan Apartmen Taman Bukit Mewah di Selangor dan Bintang Mas Condo serta Correnthian Condo di Kuala Lumpur.

Dr Hassan berkata pihaknya telah menjalankan pelbagai aktiviti mencegah denggi dengan mengedarkan risalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya bertindak proaktif dalam menjaga kebersihan kawasan sekitar dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi mencegah demam denggi.

Beliau berkata pihak kementerian juga sentiasa memberi sokongan kepada pihak lain termasuk syarikat swasta dalam menganjurkan program pencegahan demam denggi.

No comments:

Post a Comment