Joseph Kallang T dihalang dua pemain Kelantan pada perlawanan malam kelmarin yang berpihak kepada Terengganu 3-1. - Gambar Harris Fadzilah
Pada ketika jurulatih Kelantan Datuk M Karathu yakin pasukannya akan bangkit, Terengganu berazam untuk mencari gol awal bagi menyerap tekanan Kelantan yang pastinya begitu garang pada pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia di Kota Baharu, Jumaat ini.
Biarpun memiliki kelebihan dua gol, jurulatih Terengganu Irfan Bakti tidak mahu anak buahnya menerapkan corak permainan bertahan malah perlu mencari gol awal untuk melangkah ke separuh akhir dengan selesa.
Berikutan kehilangan khidmat dua tonggak utama, Ismail Faruqi Asha'ri dan Mohd Zubir Azmi akibat kad merah, Irfan membuat percaturan baru bagi memastikan skuad Penyu tidak berputih mata menjelang aksi timbal balik itu nanti.
Terengganu membawa bekalan selesa untuk bertandang ke tempat lawan setelah berjaya mengalahkan Kelantan 3-1 pada pertemuan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini semalam.
"Apa yang pasti, kami tidak harus bertahan ketika beraksi di Kota Baharu sebaliknya kami harus mencari gol awal untuk keselesaan kami," katanya di Kuala Terengganu.
Irfan berkata beliau yakin skuad bimbingannya akan melangkah ke saingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini.
M Karathu pula berkata, perlawanan masih ada 90 minit, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.
Baginya, kalah 1-3 kepada Terengganu pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, tidak melunturkan semangat pasukannya.
Meskipun bakal berdepan laluan sukar untuk mendapatkan dua jaringan pada aksi kedua nanti, Karathu yakin Kelantan mampu bangkit pada perlawanan kedua Jumaat ini di Stadium Sultan Mohammed IV.
"Saya mahu pemain melupakan aksi malam tadi (kelmarin). Kita masih ada baki 90 minit untuk diharungi pada perlawanan kedua nanti. Jadi kita harus gunakan peluang tersebut sebaik mungkin.
"Apa yang penting, pemain perlu bekerja dengan lebih kuat dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan tersebut, yang akan menentukan nasib pasukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Pada perlawanan kelmarin, Terengganu yang beraksi di gelanggang sendiri mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Kelantan selaku juara bertahan Piala Malaysia dalam perlawanan 'tegang' dengan lima kad merah dilayangkan oleh pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab.
Tiga pemain Red Warriors yang menerima kad merah ialah Mohd. Shakir Shaari pada minit ke-31, Mohd. Daudsu Jamaludin (ke-34) dan Muhammad Abdul Aziz Ismail pada minit-minit akhir perlawanan.
Sementara dua pemain tuan rumah yang mendapat kad merah ialah Ismail Faruqi dan Zubir Azmi masing-masing pada minit-minit akhir separuh masa pertama dan kedua.
Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Karathu mengakui dua kad merah dalam tempoh tiga minit ke atas Mohd. Shakir dan Mohd. Daudsu memberi kesan kepada pasukan.
"Ketiadaan dua pemain tersebut menjejaskan persembahan pasukan. Bagaimanapun kami berjaya mengimbangi perlawanan dan mencipta beberapa peluang gol, namun gagal menemui sasaran.
"Saya berpuas hati dengan apa yang telah ditunjukkan oleh barisan pemain, dengan mempamerkan semangat juang yang tinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment