Monday, October 24, 2011

Kerajaan Pusat Komited Bangun Sumber Ikan Sungai

Kerajaan tidak bersikap lepas tangan untuk membangunkan sumber perikanan sungai walaupun tanggungjawab mengurus dan melindungi industri tersebut terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan Pusat akan terus menyalurkan peruntukan untuk membangunkan industri tersebut supaya memberi manfaat kepada semua peringkat masyarakat.

Beliau menarik perhatian, pelepasan sebanyak 236,000 ekor anak ikan bernilai RM50,00 di Sungai Perak baru-baru ini akan memberi manfaat apabila mencapai saiz matang untuk dijual di pasaran.

"Sebagai contoh, udang hidup dijual pada harga pasaran RM30 sekilogram dan harga ikan dan udang menjadi lebih tinggi mengikut harga pasaran semasa," katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Benih Ikan Peringkat Kebangsaan di Dataran Sungai Perak, di Kuala Kangsar.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mohd. Hashim Abdullah.

Noh berkata, selain dijual hidup, ikan sungai boleh diproses untuk menghasilkan produk perikanan yang boleh mendatangkan sumber pendapatan memandangkan produk berkenaan mempunyai permintaan yang tinggi.

Kerajaan kata beliau, telah melatih 300 peserta di Pusat Pengembangan Teknologi Perikanan di Lenggong dan Manjung, dekat sini dalam usaha melahirkan usahawan kecil yang menceburi bidang penghasilan produk perikanan sungai.

Menurut beliau, bagi memastikan sumber perikanan sungai diurus, dipulihara dan dilindungi, sembilan kerajaan negeri telah menggazetkan undang-undang dikenali Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) bagi memastikan sumber perikanan sungai diurus, dipulihara dan dilindungi.

Katanya, sembilan negeri terbabit ialah Perak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan manakala Selangor, Melaka serta Wilayah Persekutuan sedang dalam proses penggubalan.

"Salah satu faktor pengurusan yang disentuh di dalam Kaedah-kaedah Perikanan Sungai ialah keperluan lesen untuk menangkap ikan. Semua nelayan perlu memiliki lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Pejabat Perikanan negeri.

"Sehingga kini sebanyak 8,940 nelayan sungai telah direkodkan di seluruh negara," jelas beliau.

Tambah Noh, kerajaan berpandangan bahawa sekiranya stok sumber perikanan sungai banyak dan berterusan, nelayan dan masyarkat setempat boleh memperolehi sumber pendapatan dan bekalan protein yang mencukupi.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment