Kawasan perumahan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu dipenuhi sampah.
Walaupun sudah dimaklumkan air sungai antara punca utama 24 orang termasuk seorang kanak-kanak Orang Asli di perkampungan Sungai Berua, di sini menghidap demam kuning berpunca daripada virus kencing tikus, bulan lalu, sumber itu tetap menjadi pilihan penduduk untuk mencuci pakaian, mandi serta minum tanpa dimasak.
Air Sungai Berua berhampiran penempatan masyarakat itu tetap jadi pilihan biarpun dicemari sampah sarap dan tebingnya menjadi sarang pembiakan tikus, atas alasan bekalan air bersih dibekalkan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dipotong kerana penduduk gagal membayar tunggakan bil.
Kekotoran sungai itu adalah akibat masyarakat di perkampungan itu membuang sampah di kawasan kediaman dan di tebing sungai, manakala beberapa lokasi di tebingnya dijadikan tandas oleh kanak-kanak masyarakat Orang Asli walaupun kerajaan negeri menyediakan tandas di setiap kediaman.
Justeru, Timbalan Ketua Kampung Sungai Berua, Ibrahim Awang, tidak menuding jari menyalahkan kerajaan negeri berikutan 24 anak buahnya, termasuk sembilan pelajar terpaksa dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) disebabkan virus kencing tikus, kerana masyarakat sendiri mengabaikan kebersihan selain menggunakan airnya untuk minum dan memasak.
Katanya, pegawai Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Terengganu kerap mengunjungi perkampungan itu untuk mengadakan pameran kesihatan dan memberi nasihat agar memasak air sungai sebelum menggunakannya.
"Punca utama penduduk diserang penyakit demam kuning dan dijangkiti Hepatitis A sebelum ini juga disebabkan kawasan perumahan dan tebing serta air sungai terlalu kotor.
"Walaupun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerap menganjurkan gotong-royong membersih kawasan, tetapi tidak mendapat sambutan masyarakat," katanya.
Ibrahim berkata, masyarakat Orang Asli di penempatan Sungai Berua tidak dipinggirkan kerajaan negeri, malah bekalan air bersih sudah disediakan di setiap kediaman sejak 10 tahun lalu, tetapi keengganan mereka menjelaskan bil menyebabkan kemudahan itu terpaksa dipotong.
"Masyarakat Orang Asli sudah sebati dengan air sungai, sebab itu mereka tetap menggunakannya untuk mandi, mencuci pakaian dan memasak, biarpun bekalan air bersih disediakan," katanya.
Ibrahim berkata, beliau difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Rozi Mamat sudah menjelaskan bil tertunggak September lalu, tetapi SATU belum membuat penyambungan semula.
Jurucakap SATU berkata, tindakan memotong bekalan air bersih terpaksa dilakukan berikutan kegagalan penduduk perkampungan itu menjelaskan bil tertunggak melebihi RM30,000, termasuk tunggakan paip individu berjumlah RM20,000, manakala jumlah hutang tertunggak untuk meter bersama sebanyak RM5,662.
"Bekalan air bersih ke kediaman perkampungan itu akan disambung semula selepas mereka menjelaskan bil tertunggak," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai bayaran yang dijelaskan Rozi.
Sementara itu, Rozi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri ketika ditemui berkata, beliau mengarahkan Pejabat Daerah Hulu Terengganu menggunakan peruntukan di bawah bantuan am disediakan kerajaan negeri kepadanya untuk menjelaskan bil tertunggak sebanyak RM16,000.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment