Pertarungan tiga penjuru antara Torvar Mirsky (The Wave Muscat), Ian Williams (GAC Pindar) dan Francesco Bruni (Bruni Racing) dijangka menghangatkan saingan Piala Monsun yang bakal membuka tirainya di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, tujuh hari lagi.
Dipisahkan hanya enam mata daripada pendahulu, Williams ketika ini, Bruni dan Mirsky kelihatan mampu untuk berada di puncak tetapi peluang juga masih terhidang buat penghuni tangga keempat dan kelima keseluruhan - Peter Gilmour (Yanmar Racing) dan Bjorn Hansen (Mekonomen Sailing Team).
Namun bagi Bruni, dia percaya Mirsky, Williams dan dirinya mampu mempamerkan aksi terbaik untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.
Jika dilihat daripada rekod sebelum ini, Bruni pernah menewaskan Williams serta Mirsky namun ia disifatkan sebagai ‘kemenangan paling teruk’ baginya dan warga Itali itu sama sekali enggan menjadikan statistik itu sebagai ukuran.
“Ya, kami ada membuat beberapa kesilapan dalam perlawanan menentang mereka tahun ini, tetapi saya tidak gentar. Kami tidak bimbang menentang mana-mana pasukan, asalkan belayar dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
“Pengalaman pasti membantu dalam menangani tekanan. Kami pernah mengalami detik-detik seperti itu tahun ini dan diharap ia akan membantu kami melaluinya. Memang bukan mudah, lawan sangat bagus tetapi kami sudah banyak bertanding sebagai satu pasukan dan berasa amat yakin.”
Mengakui ia musim pertamanya bertanding sepenuh masa dalam siri jelajah serta kurang berpengalaman bersaing di Kuala Terengganu berbanding seterunya, Bruni berkata, pasukannya tetap dengan sasaran bergelar juara tahun ini.
“Kami pasti mensasarkan kejuaraan, dan tidak boleh menerima tempat ketiga sebagai satu kejayaan. Kami tidak pernah menjangkakan akan menuju ke Piala Monsun dengan peluang yang amat baik untuk menjulang gelaran juara. Ini adalah satu kejayaan besar tetapi sudah tentu ia belum cukup,” katanya.
No comments:
Post a Comment