(EKSLUSIF)Tiada sebarang nama yang sudah dicadang atau dipertimbangkan sebagai calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu untuk menghadapi pilihan raya umum sehingga kini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan semua pemimpin dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) Terengganu jangan terperangkap dan terpengaruh dengan dakyah bahawa calon untuk pilihan raya sudah diputuskan.
Elakkan bercakap atau mendengar cakap mengenai siapa jadi calon dan sebagainya kerana masa ini perlu digunakan untuk memenangi hati rakyat, katanya.
Kerana itu, Ahmad Said mahu semua pihak bekerja keras sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke 13 (PRU13) dan isu calon tidak wajar dibincangkan langsung.
“Saya bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak malam kelmarin dan beliau menasihatkan supaya semua anggota UMNO dan BN jangan bercakap mengenai calon tetapi persediaan serta gerak kerja untuk menjamin BN terus menjadi kerajaan Pusat dan negeri.
“Tidak timbul langsung soal nama calon dikemukakan atau dinilai ketika ini. Di Terengganu, tidak seorang pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen atau Pegawai pembangunan DUN ditukar atau digugurkan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu pada pertemuan dengan semua Ahli Parlimen, ADUN serta Pegawai Pembangunan Parlimen dan DUN di sebuah hotel di Kuala Terengganu malam semalam.
Semua Ahli Parlimen, ADUN dan Pegawai Pembangunan Parlimen dan DUN hadir kecuali tiga Ahli Parlimen iaitu Kemaman, Setiu serta Kuala Nerus selain ADUN Jerteh serta Langkap.
Ahmad Said berkata, ketika pelbagai pihak membuat spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan semalam bersamaan 11,11,2011, BN Terengganu menggunakan tarikh itu untuk merangka strategi dan merapatkan perpaduan di kalangan ADUN dan Ahli Parlimen untuk bekerja dalam satu pasukan.
Beliau yakin jika semua pemimpin BN dan UMNO meningkatkan usaha, BN Terengganu tidak ada masalah untuk mengekalkan kuasa.
Malah, difahamkan UMNO Pusat dan Presiden UMNO sendiri berpuas hati dengan gerak kerja UMNO Terengganu.
Ahmad Said meminta semua yang hadir pada pertemuan malam semalam mengelakkan sebarang krisis dalaman sama ada pada peringkat bahagian, cawangan atau juga setempat.
“Yang penting, kita menguruskan parti dengan baik dan elak perpecahan. Untuk ketika ini turun padang dan bertemu rakyat untuk menawan hati mereka,” katanya.
Mengikut Sujuhanjaya Pilihanraya, sehingga suku kedua tahun ini, Terengganu mempunyai pengundi seramai 597,631 dan 106,159 daripadanya adalah pengundi baru.
No comments:
Post a Comment