Tuesday, November 1, 2011

Fama Bawa ICT Ke Hari Peladang, Petani di Perak


Ikan celup tepung (ICT) adalah antara makanan tradisional dan popular yang akan menjadi tarikan gerai Terengganu sempena sambutan Hari Peladang dan Nelayan Kebangsaan di Sungai Siput, Perak bulan depan.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata makanan lain yang turut menarik perhatian ialah nasi dagang, satar, keropok lekor dan kering dan laksam.

“ICT mungkin tidak terdapat di negeri-negeri lain dan makanan itu menjadi begitu popular sejak kebelakangan ini di Terengganu,” katanya kelmarin.

Hasan berkata Fama akan menghantar beberapa orang usahawan dan pakar dalam bidang masakan untuk menjayakan masakan itu.

Beliau berkata Fama juga akan menghantar barangan kraf seperti batik dan songket Terengganu bagi memeriahkan sambutan Hari Peladang dan Penternak tahun ini.

Katanya, selain itu Fama akan membantu kerajaan negeri mempromosi produk-produk pertanian dan asas tani negeri Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Hasan berkata sempena hari raya Aidiladha ini, Fama akan mengadakan jualan istimewa di pasar tani Padang Hiliran dan pasar tani Kerteh, Kemaman.

Beliau berkata harga di pasar-pasar tani itu lebih rendah daripada harga di pasar biasa dengan semua barang keperluan termasuk daging lembu boleh didapati.

Hasan berkata tujuan Fama mengadakan pasar tani istimesa itu ialah untuk memberi kemudahan kepada surirumah terutamanya mereka yang bekerja membeli barang keperluan persiapan menyambut perayaan itu.

No comments:

Post a Comment