Tuesday, November 1, 2011

Tanggungjawab Berat Menanti Mat Zan di Terengganu

Jurulatih kelab Liga Perdana, Mat Zan Mat Aris bersedia memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Terengganu musim depan.

Bekas jurulatih kelab Pos Malaysia FC itu pada dasarnya telah bersetuju menggantikan tempat Irfan Bakti Abu Salim yang memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya yang berakhir 31 November ini bersama Terengganu.

Menurut Mat Zan, hasil perbincangan awal bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), beliau bersetuju untuk membimbing skuad negeri itu.

Bagaimanapun beliau mengakui amanah berat bakal menanti kerana untuk mengambil alih tugas Irfan Bakti bukan mudah dan untuk meneruskan kejayaan itu juga bukan perkara yang senang.

"Saya terkejut dengan tawaran yang dibuat PBSNT dan setakat ini, saya bersetuju dengan tawaran itu dan sedia berkhidmat untuk negeri itu buat kali kedua,” katanya ketika ditemui di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, bukan mudah untuk meneruskan kecemerlangan yang ditinggal Irfan Bakti, namun dia mempunyai cara tersendiri untuk membimbing pasukan itu dan yakin dapat mengulangi kejayaan seperti tahun 2001 lalu.

No comments:

Post a Comment