Saturday, November 19, 2011

Terengganu Tidak Guna Pemain Negeri Hadapi Piala Emas Raja-raja

Terengganu mungkin tidak akan menggunakan khidmat pemain negeri dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2011 yang bermula dari 25 hingga 27 Nov ini.

Jurulatih Mohd Nik berkata ini kerana sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang jawapan daripada pasukan negeri mahupun pasukan kelab T-Team untuk membenarkan pemain mereka bermain di kejohanan tersebut.

"Kalau tidak ada, kita akan gunakan pemain yang terdiri daripada pemain bola sepak Piala Presiden dan bekas pemain pasukan negeri bagi menggalas cabaran di kejohanan itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd berkata Persatuan Bolasepak Melayu Terengganu (PBSMT) telah menyenaraikan 25 pemain termasuk lapan pemain tahun lalu untuk menjalani latihan pusat.

Beliau berkata Terengganu ditempatkan dalam Kumpulan B bersama-sama Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebanyak 16 pasukan yang mengambil bahagian dibahagikan kepada empat kumpulan.

Menurut Mohd, Terengganu sepatutnya menjadi tuan rumah pertandingan peringkat kumpulan tetapi terpaksa menolak kerana Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sedang dibaik pulih.

Beliau berkata Terengganu tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi pada kejohanan kali ini tetapi cukup sekadar berjaya ke separuh akhir.

Pada edisi 2010, Terengganu berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir setelah kalah kepada Kelantan yang juga juara tahun itu, katanya.

Mohd berkata Terengganu telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebagai ujian akan keupayaannya.

"Kami mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk membuat persiapan untuk menghadapi kejohanan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment