Muhammad Ramli Nuh (kiri) beramah mesra dengan sebahagian jemaah haji yang baru tiba dari tanah suci Mekah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.
Kumpulan kedua jemaah haji penerbangan terus dari Jeddah ke Kuala Terengganu tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di pagi ini.
Kumpulan pertama jemaah sampai semalam dan disambut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh.Turut hadir, Pengurus Malaysia Airport Berhad, Dr. Ahmad Ramli Mahmood.
Kepulangan 447 jemaah semalam menggunakan perkhidmatan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) tiba pada pukul 7.30 pagi.
"Alhamdulillah, pengendalian Tabung Haji dalam menguruskan jemaah, berjalan dengan baik dan lancar manakala penerbangan pulang pertama jemaah haji juga telah menepati jadual.
"Tabung Haji menyelesaikan apa-apa masalah yang dialami oleh jemaah haji kita di sana," katanya dalam ucapan meraikan jemaah berkenaan.
Sebanyak lima lagi penerbangan Jeddah-Kuala Terengganu akan menyusul seterusnya pada 20, 21, 29 dan 30 November serta yang terakhir pada 1 Disember.
Sementara itu, rata-rata jemaah haji yang ditemui berkata mereka berpuas hati dengan pengurusan Tabung Haji ketika di tanah suci.
Bagi peneroka Felda Rasau Kertih II, Dungun, Ismail K.H. Muda, 66, yang bersama isterinya, Zaleha Embong, 60, ia perjalanan menggembirakan mereka apabila merasai pengalaman pertama berhadapan dengan manusia yang begitu ramai.
"Semasa tawaf widak, pada ketika itulah paling ramai sampai nak berjalan pun susah. Itulah antara dugaan yang menguji kesabaran kita sebagai tetamu Allah.
"Bagaimana pun dengan bantuan Tabung Haji, perjalanan lancar. Tahun depan pakcik mahu pergi lagi ke sana untuk menunaikan umrah bersama anak sulung pakcik," katanya.
Sementara itu, suri rumah, Fatimah Abdullah, 60, yang berasal dari Bukit Depu, di sini, memberitahu, tempoh 55 hari di Mekah dan Madinah dirasakan cukup singkat walaupun sebelum ini membayangkan ia cukup lama.
"Alhamdulillah, lapan tahun menanti akhirnya selesai hari ini," katanya yang pergi bersama suaminya, Abdullah Hassan Muda, 60.
No comments:
Post a Comment