Tuesday, November 1, 2011

RM8.16j: ASDI Umum Agihan Pendapatan 2 Sen Seunit

Amanah Saham Darul Iman (ASDI) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak dua sen seunit bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Oktober, 2011, melibatkan lebih RM8.16 juta.

ASDI diuruskan oleh PTB Unit Trust Berhad (PUTB), anak syarikat milik penuh Permodalan Terengganu Bhd (PBT).

Pengerusi Lembaga Pengarah PTB, Datuk Muhatar Abdullah berkata, pengagihan itu melibatkan lebih 23,000 pemegang unit.

"Pengagihan dijangka dibuat pada bulan depan dalam bentuk unit bonus,” katanya selepas menyerahkan zakat PTB sebanyak RM188,193.85 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif PTB Unit Trust Berhad, Encik Md Som Mangy.

Muhatar berkata, pengagihan pendapatan PTB tahun ini agak susut berbanding tahun lepas pada tiga sen seunit melibatkan RM12.225 juta, berikutan prestasi pasaran saham yang kurang memberangsangkan bagi tempoh 1 November 2010 hingga 31 Oktober 2011.

Muhatar kemudiannya menyerahkan zakat perniagaan PUTB bagi tahun kewangan 2010 berjumlah RM188,193.85 kepada Haji Wan Harujan yang mewakili Maidam.

No comments:

Post a Comment