Dapatan awal satu kajian menunjukkan 70 peratus responden yang terdiri daripada golongan belia kini berasa lebih dekat dengan kerajaan berikutan langkah yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendekati golongan itu.
Tinjauan terhadap belia melalui kajian yang dijalankan sejak 2010, berpendapat mereka menyambut baik penggunaan media sosial interaktif oleh Najib yang membolehkan golongan ini menghubungi Perdana Menteri secara langsung untuk memberi pendapat, idea dan juga kritikan mengenai pelbagai isu.
"Hasil kajian saya mendapati 70 peratus belia menyokong kerajaan kerana mereka seronok dan suka dengan pendekatan yang dilakukan kerajaan menerusi program-program yang dirangka.
"Itu adalah kuncinya untuk kerajaan mendekatkan diri dengan belia," kata pensyarah Sains politik di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Dungun (Terengganu), Che Hamdan Mohamed Razali baru-baru ini.
Selain pendekatan melalui media sosial, katanya responden yang terdiri daripada golongan berusia antara 18 dan 40 tahun serta daripada pelbagai bidang pekerjaan termasuk pelajar, profesional hingga nelayan dan petani, berpendapat kerajaan pimpinan Najib juga kini lebih terbuka.
Rata-rata responden mengakui sedar akan inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) yang semakin banyak melibatkan belia dan kepentingan mereka dalam merangka sesuatu program seperti rumah mampu milik untuk belia baru bekerja, bantuan kepada usahawan muda dan kemudahan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Mereka menghargai sekecil-kecil usaha seperti Perdana Menteri duduk bersila bersama belia di jalan raya untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak, menganjurkan banyak kegiatan seperti futsal dan rancangan membina satu gelanggan futsal bagi setiap mukim.
Jadi adalah tidak benar jika dikatakan golongan belia suka menentang kerajaan dan 'anti-kerajaan' seperti yang cuba ditonjolkan pembangkang yang membawa belia ke jalan raya untuk berdemonstrasi dan bertindak tidak hormat terhadap pemimpin?
"Adalah menjadi sifat segelintir belia suka memberontak. Dapatan awal saya ialah belia ini bukanlah 'anti-kerajaan' seperti didakwa banyak pihak. Mereka cuma berjauh hati jika berasa dipinggirkan. Jika kerajaan memberi perhatian, mereka ini akan menyokong kerajaan," katanya.
Beliau berpendapat kerajaan perlu agresif memberikan penjelasan mengenai sesuatu perkara sekiranya tidak mahu golongan belia terus diracuni dengan maklumat dan fakta yang salah oleh pihak tertentu yang berkepentingan politik yang cuba menonjolkan golongan belia menyokong mereka.
Che Hamdan bagaimanapun belum bersedia memberikan perincian lanjut dapatan kajian itu atas alasan bahawa ia masih terus dijalankan dan akan hanya diumumkan sepenuhnya setelah selesai.
Rumusan awal beliau ialah belia tidak akan menggadai masa depan mereka semata-mata kerana janji-janji manis, sebaliknya mereka lebih bersedia bersama-sama bergelumang dan berusaha dengan kerajaan yang sudah terbukti mempunyai perancangan yang baik untuk masa depan mereka, malah mempunyai rekod yang terbukti.
Dalam keadaan Malaysia boleh menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) pada bila-bila masa sekarang, pembangkang memang tidak melepaskan peluang mendakwa bahawa golongan belia kononnya bersama-sama dengan perjuangan mereka walaupun hakikatnya hanya segelintir belia terlibat.
Pekerja swasta, Noorazmi Mohd Radzi, 29, berpendapat pembangkang menggunakan pelbagai kaedah bagi menyokong dakwaan mereka itu termasuklah dengan mengketengahkan belia dalam demonstrasi jalanan baru-baru ini dan juga siswa yang menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
"Mereka berharap dapat mempengaruhi belia lain, supaya terikut-ikut kerana kononnya tindakan itu 'trendy'. Mereka juga menggunakan laman web untuk menonjolkan kononnya para belialah yang bersuara menentang kerajaan. Sedangkan mereka sendiri tahu yang terlibat hanya segelintir," katanya.
"Bukan isu nak tolak kerajaan atau tidak, soalnya sekarang pembangkang kian takut apabila kerajaan kini sedikit demi sedikit berjaya menambat hati golongan muda. Saya orang muda, saya rasa kerajaan yang ada sekarang sudah bagus. Saya tidak akan membakar kelambu kerana marahkan seekor dua nyamuk," katanya.
"Belia sekarang tak sama macam dulu. Zaman dah berubah dan fikiran belia juga semakin terbuka apatah lagi dengan pelbagai maklumat yang boleh diperoleh menerusi internet. Perdana Menteri perlu menghapuskan nyamuk-nyamuk itu supaya tidak terus menerus memburukkan imej kerajaan di mata belia," katanya.
Najib pada ucapan Belanjawan 2012 Oktober lepas, telah menyedari perlunya mendidik generasi muda apabila beliau berkata, "Pujangga berpesan agar mendidik anak-anak sesuai dengan zaman mereka. Kalau kita dahulu ingin dilayan sesuai kehendak kita sebagai orang muda, begitu juga anak-anak zaman sekarang."
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Irmohizam Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan belia dalam apa jua aspek termasuk Belanjawan 2012, malah menghargai dan terbuka menerima sebarang pandangan serta kritikan belia kepada kerajaan.
"Kerajaan telah melakukan yang terbaik dengan merancang pelbagai usaha untuk mendekatkan golongan belia dengan kerajaan. Jadi dakwaan mengatakan golongan belia anti kerajaan adalah tidak benar, cuma segelintir sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.
Selain mengiktiraf golongan belia dalam Belanjawan 2012, kerajaan juga sedia melakukan pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti. Mengenai penglibatan mahasiswa dalam politik negara, dan terbaru Perdana Menteri mengibaratkan golongan muda sebagai wira unggul yang mempunyai kuasa menjadikan program transformasi negara sebagai satu realiti.
Mengakui bahawa suara golongan muda mantap, Najib pada 12 Dis lepas berkata kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan dan idea golongan belia dan juga kritikan mereka supaya setiap program transformasi yang dirancang akan berjaya dengan penglibatan mereka.
Irmohizam yang juga pensyarah di Fakulti Undang-Undang UiTM Shah Alam berkata hasil pemerhatiannya juga, ramai belia atas pagar kini menyukai kerajaan BN dan berterima kasih atas usaha-usaha kerajaan untuk melibatkan mereka dalam banyak isu dan projek.
"Pemerhatian saya, ramai belia atas pagar berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan mereka peluang pendidikan, kemahiran dan pekerjaan. Cuma mungkin mereka mahukan sistem penyampaian yang lebih memuaskan hati mereka.
"Menyuarakan harapan serupa itu bukanlah bermaksud mereka itu anti-kerajaan cuma harap ia diperbaiki," katanya sambil menambah jumlah belia di negara ini dianggarkan seramai 11.2 juta orang.
Dalam pada itu, beliau mengakui memang terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba menghasut golongan belia di universiti supaya membenci kerajaan hanya untuk kepentingan politik dan keghairahan merebut kuasa pemerintahan.
"Namun, belia yang terdedah kepada pelbagai maklumat tidak mudah menerima semuanya bulat-bulat tanpa memeriksa kebenarannya. Begitu juga dengan janji-janji pembangkang, yang kami sedari sepenuhnya hanya gimik untuk meraih undi tanpa sebarang langkah konkrit diatur untuk belia seperti yang sudah dilaksanakan kerajaan BN sekarang," katanya.
Jadi, tidak benarlah minat belia terhadap politik sekarang menggambarkan kecenderungan mereka kepada pembangkang?
Siswa sebuah universiti tempatan, yang mahu dikenali sebagai Sera Nadzmi pula berkata puluhan rakannya di universiti memang mengikuti perkembangan politik semasa tanah air termasuk isu-isu yang ditonjolkan pembangkang.
"Isu yang dimainkan pembangkang memang sedap dibaca. Namun kami tidak mudah dibutakan mata oleh isu yang digembar gemburkan itu kerana kami lebih yakin terhadap kerajaan yang ada, yang sudah terbukti memberi perhatian dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membina masa depan yang lebih baik untuk kami," katanya.
Katanya, beliau dan rakan-rakannya sentiasa bersyukur dapat menikmati kemudahan belajar di universiti dengan bantuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), malah disediakan juga peluang pekerjaan, melalui usaha berterusan kerajaan menjamin pertumbuhan ekonomi yang baik, selepas mereka habis belajar.
"Insya-Allah kami akan melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, supaya generasi adik-adik kami yang masih dibangku sekolah juga akan turut mendapat peluang yang sama kalau pun tidak lebih baik," katanya yang akan mengundi buat pertama kali.
No comments:
Post a Comment