Thursday, December 22, 2011

Hadi Perlu Tarik Balik Amanat Hadi Demi Perpaduan Islam

Kejadian dua solat berasingan dalam satu kariah yang masih berlaku di negeri ini boleh diselesaikan jika wujud sikap mahu memperbetulkan keadaan selain akur dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Jumaat lalu.

Semua pihak hendaklah sedar bahawa teguran Sultan Mizan itu lahir daripada ketua agama negeri yang bertanggungjawab terhadap perkara yang berlaku dalam institusi masyarakat Islam di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu atau MAIDAM, Datuk Mazlan Hashim, mengakui masalah itu sudah berlarutan lebih 30 tahun lalu, namun amat sukar menyelesaikannya apabila ada pihak tidak memberi kerjasama.

Ia lebih parah apabila pihak berkenaan lebih mementingkan agenda politik daripada memelihara kesucian agama Islam.

Kita berharap pemimpin PAS sedar dan bertanggungjawab akibat dasar ketidaksefahaman politik yang menyebabkan umat Islam di negeri ini turut berpecahbelah.

Malah pengaruh kepada ‘Amanat Haji Hadi’ pada satu ceramah di Banggol Peradong, Marang pada 7 April 1981 itu turut dikesan berlaku di Pahang, Johor dan Kedah.

Yang diharapkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik amanatnya itu sebagai menghormati titah Sultan Terengganu selain mengarahkan semua penyokong PAS menghentikan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah.

Ia penting sebagai memelihara kesucian dan martabat agama Islam selain menunjukkan kesetiaan kepada Sultan.

Bukan tiada usaha untuk kerajaan negeri dan PAS duduk semeja untuk mengatasi masalah ini tetapi usaha itu ditolak mentah-mentah oleh PAS.

Datuk Seri idris Jusoh, ketika menjadi Menteri Besar, pernah membuat tawaran sebagai ketua kerajaan negeri kepada PAS untuk diwartakan markas dan masjid milik parti itu digunakan sebagai masjid kerajaan.

Bagaimanapun, tawaran itu ditolak dan PAS yang ketika itu angkuh mengembangkan aktiviti menentang kerajaan menerusi ceramah dan khutbah dibaca pada setiap Jumaat di masjid yang tidak diiktiraf kerajaan.

Kita berharap tiada lagi markas PAS dijadikan tempat solat Jumaat berasingan selain masjid mempunyai lambang dan bendera parti termasuk sepanduk yang digantung di pagar-pagar dan kawasan masjid yang mengutuk pemimpin UMNO.

Kita menyambut baik apabila mesyuarat khas akan diadakan hari ini bagi membincangkan isu dan mencari penyelesaian masalah dua solat Jumaat dalam satu kariah ini.

Mesyuarat itu diharapkan dapat mencari jalan terbaik bukan sahaja mengatasi masalah yang berlaku di 11 masjid yang dikenal pasti di seluruh negeri, terutama di daerah Besut, tetapi juga sebagai rangka pencegahan masa akan datang.

Mesyuarat khas itu pastinya akan mengambil kira pandangan semua ahli majlis termasuk mencari kaedah dan tindakan sesuai bagi menyelesaikan isu yang turut mendapat teguran Sultan Mizan.

Walaupun setakat ini MAIDAM belum ada cadangan meminta Sultan Mizan sebagai ketua agama negeri campur tangan bagi menyelesaikan isu solat Jumaat berasingan, namun jika formula atau langkah pencegahan yang akan digubal gagal mendapat kerjasama pihak-pihak terbabit, adalah wajar MAIDAM mencari alternatif lain.

Ini termasuk menghadap dan memberi cadangan memohon Sultan Mizan campur tangan serta mengeluarkan titah bagi menghenti dan menyekat tersebarnya perbuatan yang dilarang agama Islam.

Mesyuarat khas itu perlu mempertimbang dengan adil dan menilai siasatan menyeluruh termasuk kedudukan antara masjid dan jumlah kariah bagi membenarkan sesetengah masjid itu diberi kelulusan untuk menunaikan solat Jumaat.

Adalah wajar untuk menilai cadangan bahawa jika kedudukan masjid dan jumlah kariah memenuhi peraturan ditetapkan, kelulusan bersyarat boleh diberikan.

Kita berharap tidak akan ada langkah terakhir iaitu titah daripada Sultan Mizan menghentikan kegiatan ini kerana tindakan secara pentadbiran dan kerjasama dengan pemimpin PAS negeri adalah langkah terbaik menyelesaikan masalah ini.

Kerana itu kita berharap pemimpin PAS khususnya Abdul Hadi dapat sama-sama membantu menyelesaikan isu ini dengan menarik balik Amanat beliau untuk perpaduan lebih erat di kalangan umat Islam di negeri ini.

Selain itu pemimpin PAS turut memberikan kerjasama erat dengan apa juga cara penyelesaian isu ini hasil mesyuarat khas kerana ia penting untuk akidah dan syiar Islam di Terengganu.

Nota : Sebahagian besar bahan rencana ini sudah disiarkan di Bicara Terengganukita - Trg FM, tengah hari semalam

No comments:

Post a Comment