PAS tidak akan memasukkan pelaksanaan hukum hudud dalam manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pelaksanaan hukum hudud tidak perlu diterjemahkan secara terperinci, cukup sekadar secara umum kerana yang penting ialah konsep mencegah kemungkaran berlandaskan undang-undang syariah yang adil.
Pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan Terengganu boleh dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat.
“Negeri lain kita bersetuju dengan pendapat bahawa orang bukan Islam tidak akan dipaksa dan mereka perlu diberi peluang membuat penilaian,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kuala Terengganu, kelmarin.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS akan memasukkan pelaksanaan hukum hudud dalam manifesto pakatan pembangkang.
Ditanya adakah PAS akan menjadi tulang belakang jika pakatan rakyat menang, Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kepimpinan UMNO tidak perlu bimbang kerana semua parti dalam pakatan pembangkang sudah menerima Islam dan Melayu adalah teras kepimpinan dan menentukan hala tuju negara.
“Parti dalam pakatan pembangkang tidak bimbang, sebaliknya kepemimpinan UMNO berada dalam kebimbangan jika pakatan menang pada pilihan raya.
“Pemimpin beragama Islam dan berketurunan Melayu akan menjadi tulang belakang untuk menentukan hala tuju negara.
“Pemimpin UMNO tidak perlu bimbang kerana pakatan sudah menerima dan mengakui Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya sambil menyalahkan UMNO kerana gagal memperkasakan Islam dan bahasa Melayu.
Diminta mengulas kenyataan PAS sedia bekerjasama dengan UMNO ketika membahaskan Bajet 2012 Terengganu, Abdul Hadi berkata, parti itu sudah banyak bekerjasama dengan UMNO dalam pelbagai isu antarabangsa dan nasional.
“Antara kerjasama yang PAS berikan ialah berkaitan dengan isu keamanan dunia, kita juga memberi kerjasama dan hadir pada persidangan antarabangsa menangani masalah penduduk di Palestin.
“Di peringkat nasional, kita duduk semeja membincangkan isu dadah, gejala jenayah dan pernah menjadi wakil Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN),” katanya.
No comments:
Post a Comment