Seramai 118 guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa) kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Putera menandatangani surat perjanjian penyambungan pelantikan mereka semalam.
Majlis menandatangani surat perjanjian diadakan di Demong Beach Resort di sini dengan disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof.
Kata Muhammad Pehimi, mereka adalah sebahagian daripada 470 guru Kafa seluruh daerah ini yang disambung semula perkhidmatan untuk bertugas mengajar al-Quran dan Fardu Ain di 11 sekolah rendah di Dun berkenaan sepanjang tahun ini.
Muhammad Pehimi mengesyorkan usaha menyedar dan menyakinkan ibu bapa bahawa mata pelajaran Kafa sama penting dengan mata pelajaran lain seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris perlu dilakukan secara agresif.
“Sebelum ini ibu bapa sanggup berhabisan wang demi menghantar anak mereka mengikuti kelas tuisyen bagi mata pelajaran tersebut namun kali ini biarlah mereka juga berasa Kafa juga sama pentingnya.
“Kelas Kafa bukan menjadi pilihan kedua dalam mendidik mereka menjadi insan berguna,” katanya.
Kata beliau, kaedah dan teknik terbaik perlu dilakukan supaya kelas Kafa lebih diminati pelajar dan bukannya diambil sikap tidak acuh oleh pelajar dan ibu bapa.
Menurutnya, pendidik juga perlu pastikan pelajaran Kafa menjadi medium untuk memperbaiki akhlak dan peribadi pelajar serta menjauhkan mereka daripada gejala sosial.
“Tidak ada gunanya pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi akhlak dan peribadi mereka terabai,” katanya.
Kata beliau, jika pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan pendidikan al-Quran serta Fardu Ain akan membantu mereka menjadi seorang pelajar yang lebih sempurna untuk bersaing dalam dunia pendidikan
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment