Wednesday, January 4, 2012

21,024 Murid Melangkah ke Tahun Satu Seluruh Terengganu

Seramai 129,471 murid di 349 sekolah rendah dengan 21,024 daripadanya murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan musim baru 2012 di seluruh Terengganu bermula semalam.

Sementara 490 pelajar lagi berjaya meneruskan pelajaran ke Tingkatan Satu yang melibatkan 141 sekolah menengah kerajaan di negeri ini.

Daripada keseluruhan sekolah menengah kerajaan, hanya satu sekolah yang baru dibuka dan menerima pelajar untuk pertama kalinya tahun ini, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, Kuala Terengganu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin, berkata jumlah murid Tahun Satu pada tahun ini sedikit bertambah berbanding tahun lalu yang merekodkan 20,297 orang.

“Daripada 20,297 orang murid, seramai 10,550 murid lelaki, sementara 9,747 murid perempuan.Jumlah murid yang memasuki Tahun Satu di seluruh Terengganu sejak enam tahun lalu merekodkan jumlah sekitar 20,000 hingga 22,000 murid setiap tahun,” katanya ketika dihubungi Teganukita, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, suasana di perkarangan sekolah kembali sibuk terutamanya sekolah kebangsaan yang melibatkan kemasukan murid Tahun Satu pada minggu pertama sesi 2012 yang baru bermula hari ini.

Pelbagai gelagat dan aksi kanak-kanak terutama yang baru melangkah ke alam persekolahan dapat disaksikan.

Hari pertama persekolahan juga menyaksikan jalan utama semakin sesak terutama di kawasan terdapat sekolah disebabkan ibu bapa meletakkan kenderaan di sekitar jalan utama dan luar pagar sekolah untuk menemani anak masing-masing, selain menguruskan pendaftaran persekolahan mereka.

Teganukita

No comments:

Post a Comment