Isma(kiri) dan Tuan Muhammad yang dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam atas tuduhan mencuri kucing parsi.
Seorang penganggur didenda RM11,000 atau penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, kelmarin kerana mencuri lapan ekor kucing pada hujung tahun lalu.
Muhammad Isma Amirull Ismail, 19, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Seorang lagi rakannya yang berusia 17 tahun turut mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersama Muhammad Isma melakukan perbuatan itu dan mahkamah menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Isma bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa mencuri tiga ekor kucing Parsi bernilai kira-kira RM1,500 milik Mohd. Zamri Ibrahim, 53, di sebuah rumah beralamat lot 1931, Jalan Mawar 8, Taman Permint, Cendering antara pukul 11 malam, 28 Disember dan pukul 8 pagi, 29 Disember lalu.
Pemuda itu turut didakwa bersama-sama remaja tersebut mencuri tiga ekor kucing Parsi lagi bernilai RM1,500 dari rumah yang sama pada pukul 11 malam, 31 Disember lalu dan 6 pagi keesokan harinya.
Muhammad Isma Amirull juga didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas pada pukul 11 malam dan 8 pagi, 28 Disember lalu mencuri dua ekor kucing parsi milik Sharifah Hanis Ruzaini Syed Mohamad, 23, bernilai RM1,000 di halaman rumah bernombor 384 Taman Desa Jaya Satu, Cendering, dekat sini.
Dakwaan terhadap tertuduh-tertuduh dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan
Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan pertama dan denda RM4,000 atau penjara empat bulan masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment