Ahli keluarga dan waris diminta lebih kerap melawat Pusat Sinar Harapan di Kuala Terengganuu untuk melihat sendiri perkembangan anak-anak mereka di situ.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata beliau membuat rayuan itu kerana ada sesetengah ibu bapa tidak pernah mengunjunginya selepas anak-anak mereka diserahkan di bawah jagaan pusat itu.
"Ini satu episod yang amat menyedihkan, sepatutnya keluarga yang menghantar anak mereka ke sini, sekali sekala datanglah melihat perkembangan anak mereka di sini," katanya selepas mengadakan lawatan ke pusat itu, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhami Omar.
Menurut Ahmad, kunjungan keluarga atau ibu bapa ke pusat itu sekurang-kurangnya dapat memberi harapan dan kasih sayang kepada anak-anak mereka di pusat berkenaan.
Dalam hal ini, Ahmad berkata, kerajaan tidak boleh memberikan kasih sayang kepada kanak-kanak seperti keluarga sendiri selain menyediakan kewangan dan tempat tinggal.
"Janganlah mengharapkan kerajaan semata-mata," katanya.
Ahmad Said berkata, setakat ini, beliau berpuas hati dengan apa yang ada di Pusat Sinar Harapan itu termasuk kemudahan asas dan perkhidmatan yang diberikan kakitangan di situ.
Sementara itu, Zuhami berkata, kini terdapat 69 penghuni Pusat Sinar Harapan yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.
Sementara itu, menurut Teganukita, keceriaan jelas terpancar di wajah mereka apabila kedatangan mengejut Menteri Besar serta isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud meluangkan masa beramah mesra serta melihat sendiri suasana di pusat penjagaan yang beroperasi sejak 20 tahun lalu.
Penghuni pusat berkenaan berumur antara setahun hingga 14 tahun itu kemudiaannya menjamu selera bersama Menteri Besar serta Zuhaimi.
Ahmad Said turut diberi penerangan berkaitan keseluruhan pusat tersebut termasuk bilik sensori yang dibina khusus untuk membantu merangsang deria dan mewujudkan perasaan tenang dan selesa kepada kanak-kanak istimewa di situ.
Pusat yang mengandungi 6 bilik asrama itu mampu memuatkan sehingga 100 penghuni serta disokong kemudahan lain seperti bilik fisioterapi, hidroterapi, muzik, komputer, jahitan, masakan dan akademik.
No comments:
Post a Comment