Wednesday, January 18, 2012

Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat Atasi Hakisan Pantai Tok Jembal

"Fasa pertama membabitkan jajaran perlindungan pantai sepanjang 515 meter (m) dengan kos RM2.5 juta...RM6.5 juta lagi untuk fasa dua (1035m) dan RM1.3 juta projek perlu naik taraf (250m) di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR). Cadangan baru sejauh 1750 meter pula dijangka menelan belanja RM10 juta dan kesemua fasa ini sedang dilaksanakan satu persatu." - ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Analisis Hambali Abdul Latiff

Menghadapi fenomena cuaca dan kejadian alam bukan mudah dilakukan, apa lagi melalui cakap-cakap kosong yang hanya cuba memperkecilkan pihak tertentu.

Menyalahkan sesuatu pihak, khususnya kerajaan negeri akibat kejadian banjir, masalah hakisan atau bencana alam bukan satu tindakan bijak sebaliknya lebih bersifat berkepentingan politik meraih undi.

Apa yang berlaku kepada penduduk sekitar Teluk Jembal di Seberang Takir yang bimbang dengan kejadian hakisan pantai sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukan disengajakan.

Malah, kerajaan negeri juga bukan berdiam diri dan membiarkan penduduk berkenaan terus berada dalam kebimbangan.

Hakisan yang dikesan sejak 2009 ini menghadapi kesukaran untuk dipulih sepenuhnya kerana keadaan ombak besar dan kejadian air pasang, namun tidak bermakna kerajaan tidak membuat pemantauan terhadapnya.

Sehingga kini pantai terbabit sudah terhakis kira-kira 100 meter di mana jalan, gerai dan kemudahan awam di kawasan itu sudah dihanyut ke laut.

Apapun, sebagai langkah sementara, kerajaan mengambil inisiatif membina benteng sementara bagi mengelak pantai terus terhakis akibat ombak yang mengganas.

Projek sementara pengawalan hakisan pantai kini sedang giat dijalankan menelan dengan belanja 19 juta ringgit yang terbahagi beberapa fasa. Ini termasuk jajaran perlindungan pantai sejauh 515 meter dengan kos 2.5 juta ringgit.

Sementara bagi pembinaan jajaran fasa dua sejauh 1,035 meter pula dianggarkan 6.5 juta ringgit sementara perlindungan pantai yang perlu dinaiktaraf melalui Jabatan Kerja Raya sepanjang 250 meter akan menelan belanja sebanyak 1.3 juta ringgit.

Selain itu cadangan baru untuk pembinaan satu lagi jajaran sepanjang 1, 750 meter dijangka berharga 10 juta ringgit.

Pada umumnya, kerajaan negeri menganggarkan kerja-kerja mengatasi masalah akisan Pantai Tok Jembal menelan belanja 81 juta ringgit, membabitkan kos keseluruhan bagi menambak dan membina benteng ombak di kawasan berkenaan.

Kelmarin, selepas meninjau ke kawasan hakisan di Pantai Tok Jembal , Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, kerja-kerja membaikpulih akan dilaksanakan secepat mungkin sebaik menerima kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

Turut menyertai lawatan ialah Ketua Setiausaha Pebendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Datuk Adzlan Mohd Dagang.

Ikut sama ialah ADUN Seberang Takir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Menteri Besar menyatakan beliau harap Kerajaan Pusat dapat meluluskan secepat mungkin peruntukan itu agar dapat dimulakan kerja-kerja membina benteng menyekat hakisan kerana jika tertangguh-tangguh kerosakan pantai akan merebak ke kawasan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Ketika ini semua jentera kerajaan seperti Jabatan Parit dan Saliran atau JPS sudah menyiapkan rekabentuk serta anggaran perbelanjaan untuk projek berkenaan dan bersiap sedia untuk memulakan kerja.

Yang ditunggu hanyalah peruntukan daripada Kerajaan Pusat dan dengan kerjasama erat antara kerajaan pimpinan Barisan Nasional di Negeri dan Pusat, dijangkakan kementerian yang terbabit akan menyediakan peruntukan bagi tujuan ini tidak lama lagi.

Amat jelas bahawa tanpa bantuan kerajaan Pusat, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga kepakaran, amat sukar untuk menjayakan projek yang membabitkan kepentingan rakyat.

Seperti kata ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif, projek pengawalan hakisan pantai yang sedang dilaksana melalui empat fasa membabitkan anggaran peruntukan RM19 juta.

“Apa yang dilakukan ini berbentuk sementara bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah dan membuktikan kerajaan negeri tidak berdiam diri,” katanya.

Kerajaan negeri sedar bahawa kawasan Pantai Tok Jembal sebelum ini menjadi lokasi tumpuan masyarakat tempatan yang membawa keluarga bersantai di hujung minggu di samping menjamu selera dengan keropok, ikan , sotong serta udang celup tepung yang memang digemari ramai.

“Saya difahamkan setiap minggu lebih 2,000 orang berkunjung ke pantai ini tetapi kini tidak seceria dulu apabila lebih 100m kawasan pantai terhakis dan beberapa kemudahan awam termasuk bangku dan pondok rosak,” katanya.

Beliau menaruh keyakinan siapnya projek ini, tumpuan pelancong akan menjadi lebih ramai dan ini menaikkan nama Seberang Takir sebagai destinasi popular di negeri ini.

Berasaskan apa yang sedang diusahakan oleh pemimpin tempatan di Seberang Takir dan kerajaan negeri sendiri, penduduk di kawasan berkenaan perlulah faham dan memberikan sepenuh kerjasama kepada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bagi menjayakan usaha ini.

Dengan menyokong dan mengiakan cakap-cakap pihak tertentu bahawa kerajaan negeri memejamkan mata mengenai masalah mereka. tidak akan mendatangkan sebarang faedah dan tidak ke mana-mana.

Penduduk di Teluk Jembal dan seluruh rakyat Terengganu yang turut berdepan dengan masalah seperti ini khususnya di Dungun dan Kemaman perlu faham bahawa bukan mudah untuk menghadapi masalah besar sebegini.

Hanya melalui kesabaran, bekerjasama dengan jabatan-jabatan dan kerajaan negeri, usaha mengatasinya, usaha menjadi lebih mudah dan cepat.

Rakyat kenalah juga faham bahawa dalam mengatasi masalah besar seperti ini, hubungan erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat perlu ada dan hanya melalui persefahaman Barisan Nasional sahaja kerjasama dalam kepentingan seperti ini boleh direalisasikan.

Penduduk setempat janganlah terpengaruh dengan cakap-cakap yang menghentam atau memburuk-burukkan kerajaan kerana usaha yang ‘bermodalkan air liur’ sahaja tidak akan mendatangkan sebarang manfaat.

Tuduhan dan usaha meracuni fikiran rakyat untuk mengatakan kerajaan negeri tidak berusaha mengatasi masalah mereka akan membantutkan usaha murni yang sudah digerakkan oleh kerajaan negeri selama ini.

Percaya dan sambutlah usaha bersunguh-sungguh kerajaan negeri dan kerajaan Pusat mengatasi masalah hakisan di Tok Jembal ini dan mudah-mudahan hakisan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa apabila kerja-kerja membina bentang dimulakan tidak lama lagi.

Nota – sebahagian bahan sudah disiarkan melalui Bicara Terengganukita Terengganu FM, Isnin 16 Januari 2012.

1 comment:

  1. salam. saya nak tanya, gambar ke 4 (peta) tu boleh saya ambil di link mana yer? sebab saya perlukan gambar yang agak besar saiz dan gambar untuk perancangan kedudukan benteng di kampung tok jembal.
    terima kasih. :)

    ReplyDelete