Ahmad Said (belakang lima dari kiri) bersama para penerima anugerah pada Majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2011 di Kuala Terengganu, kelmarin.
Pemilik syarikat pemborong terbesar di Pantai Timur, SP Chong Sdn Bhd, Chong Fah Ming dipilih sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2011 pada majlis Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) diadakan di Kuala Terengganu kelmarin.
Dengan kemenangan itu Fah Ming, 58, menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil serta piala iringan yang disampaikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau adalah antara 14 tokoh usahawan negeri ini yang dipilih berdasarkan kejayaan masing-masing dalam bidang perniagaan yang membabitkan lapan kategori.
Kategori itu ialah Tokoh Usahawan (satu penerima), Perkhidmatan dan Perdagangan (tiga penerima), Perkilangan dan Pembuatan (tiga penerima), Industri Makanan dan Asas Tani (tiga penerima), Peniaga dan Penjaja Kecil (dua penerima).
Kategori Usahawan Kilang Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dan Anugerah Khas Usahawan Flagship YPU, masing-masing satu penerima dengan menerima hadiah wang tunai RM3,000 piala iringan serta hadiah sampingan lain.
Ketika ditemui pemberita, Fah Ming berkata pemilihannya sebagai penerima anugerah itu adalah kali kedua selepas kali pertama pada 2002 yang diberi atas nama syarikatnya iaitu Anugerah Penghargaan Keusahawanan Terengganu (PKT) oleh kerajaan negeri.
"Kumpulan SP Chong yang mempunyai pengalaman perniagaan dalam bidang pemborong dan perhotelan, sedia berkongsi pengalaman dan membantu memajukan peniaga kecil Bumiputera di negeri ini untuk berjaya dalam perniagaan," katanya.
Syarikat SP Chong, yang diasaskan pada 1984, kini memiliki bangunan sendiri di Kawasan Perindustrian Gong Badak, di sini adalah syarikat pemborong terbesar di Pantai Timur yang membabitkan wilayah pemasarannya di Terengganu, Pahang dan Kelantan dan membekal lebih 4,000 produk kepada pelanggan termasuk alat tulis, pakaian seragam sekolah, barangan kesihatan dan barangan keperluan rumah.
SP Chong menerusi syarikat kumpulannya, Auto Friction Manufacturing Sdn Bhd juga mempunyai kilang pembuatan cakera brek kenderaan di Gong Badak yang produknya menggunakan jenama AFI Brake dieksport ke luar negara Jepun, Indonesia, China, Iran dan Iraq.
MSET Engeneering Corporation Sdn Bhd (MSETEC) menerima Anugerah Tokoh Usahawan Kategori Perkilangan dan Pembuatan dengan memenangi hadiah wang tunai RM3,000, piala dan hadiah sampingan yang lain.
Pengerusi dan pemiliknya Hasnan Abdullah, 46, bersyukur apabila dipilih menerima anugerah itu, sekaligus membuktikan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap kejayaan anak Terengganu dalam bidang perniagaan.
Beliau yang tidak menduga terpilih menerima anugerah itu, berkata jika mahu menjadi usahawan berjaya, seseorang itu harus mempunyai jati diri yang kental dan tidak mudah putus asa dalam mengharungi cabaran dunia perniagaan.
Wartawan RTM Terengganu Majidah Ismail, 35, pula menerima anugerah khas media elektronik berita TV manakala wartawan sambilan Utusan Malaysia Terengganu Adnan Mohamad, 54, bagi kategori berita media cetak dengan masing-msing memenangi wang tunai RM2,500 serta piala iringan.
No comments:
Post a Comment