Wednesday, January 11, 2012

PBSNT Mengalah Mengenai Tonggak Import

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) terpaksa mengalah dengan tindakan badan induknya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan dua tonggak import beraksi dalam kancah Liga Malaysia 2012 yang membuka tirainya semalam.

Namun presiden badan induk bola sepak negeri itu, Datuk Che Mat Jusoh tetap berpegang teguh dengan pendiriannya sebelum ini bahawa pemain import untuk juara Piala FA 2011 itu boleh didaftarkan sehingga kelmarin.

“Ini adalah pandangan serta pendapat saya selepas membaca surat pekeliling terbabit. Kami terpaksa akur kerana tidak mahu merumitkan suasana namun jangan cuba mencari kesalahan sesiapa dalam masalah ini termasuk Abdullah Salleh (Setiausaha PBSNT) yang menjadi ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

“Apa yang penting adalah mencari jalan penyelesaian. Tiada guna persatuan negeri dan badan induk berkelahi.

Malah sejak malam semalam (malam kelmarin) saya menghubungi Pengerusi JKPT FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) bagi membincangkan perkara ini namun tiada jawapan, mungkin beliau sibuk dengan mesyuarat atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi petang semalam.

Mengenai permohonan maaf yang dimahukan Hamidin, bekas Naib Presiden FAM itu tidak mahu memanjangkan perkara itu dan menganggap tidak perlu meminta maaf.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM pada satu sidang kelmarin, melahirkan kekecewaan terhadap kekeliruan yang ditimbulkan Che Mat berhubung tarikh akhir pendaftaran pemain import bagi sesi pertama Liga Malaysia musim ini yang berakhir 8 Disember lalu selain mahukan permohonan maaf selepas dikatakan celupar.

Beliau turut menggesa agar Che Mat memahami maksud sebenar kandungan surat terbabit bahawa tiada sebarang lanjutan atau keistimewaan diberikan kepada PBSNT berhubung tarikh akhir terbabit.

Situasi terbabit menyebabkan Penyu terpaksa melupakan khidmat Francis Forkey Doe (Liberia) dan Erison Da Silva Santos Carnieto (Brazil) buat sementara waktu sehingga jendela perpindahan pemain kedua dibuka pada 2 April.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment