Empat sekolah penerbangan yang menawarkan kursus juruterbang digantung operasinya sejak pertengahan tahun lepas, selepas ia didapati mengalami pelbagai masalah berkaitan pengurusan, termasuk daripada segi kewangan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata masalah yang dihadapi sekolah-sekolah penerbangan di Sandakan, Bintulu, Johor Baharu dan Ipoh itu lebih berbentuk masalah dalaman yang berada di luar kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
Beliau berkata daripada aspek kualiti latihan atau silibus, ia dapat diselia dengan baik oleh DCA kerana selagi sekolah-sekolah itu mematuhi standard yang ditetapkan, lesen operasi akan diberikan, namun apabila ia berkaitan dengan pengurusan, ia berada luar kawalan DCA.
"Sesetengah sekolah tidak dapat meneruskan operasi mereka apabila menghadapi masalah seperti soal bayaran buat jurulatih, soal sewa, menerima banyak aduan pelatih dan sebagainya," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya semalam.
Kong berkata penggantungan operasi sekolah itu menjejaskan perjalanan kursus kira-kira 250 pelatih, namun menurutnya kebanyakan pelatih itu didapati sudah meneruskan latihan mereka di institusi lain.
Beliau berkata sekolah-sekolah penerbangan yang terdapat Kota Baharu, Langkawi, Melaka dan Terengganu ketika ini masih beroperasi seperti biasa.
"Kita tidak kekurangan juruterbang pada masa sekarang, cuma saya nak ingatkan bakal juruterbang berpotensi supaya lebih berhati-hati dalam memilih sekolah penerbangan," katanya.
Beliau berkata ini kerana belanja untuk kursus-kursus penerbangan ini bukannya kecil, menjangkau sehingga ratusan ribu.
No comments:
Post a Comment