Orang ramai menjadi 'mata' kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam usaha mengekang dan mengurangkan perbuatan mencuri serta merosakkan pili bomba dan menyusahkan kerja memadamkan kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Salleh Sarbini berkata sikap sedemikian perlu ada kerana sepanjang tahun lepas sahaja 238 pili bomba di negeri ini menjadi mangsa vandalisme dan 95 lagi mengalami kerosakan.
"Keadaan ini amat merisaukan pihak kami kerana ia boleh memberi impak besar terutama bila berlaku kejadian tidak diingini," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Md Salleh berkata sehubungan dengan itu program 'Teman Pili Bomba' diperkenalkan jabatan itu sejak lebih tiga tahun lalu sebagai usaha melibatkan anggota masyarakat dalam mengekang kejadian vandalisme.
"Program teman pili bomba ini berperanan menjaga pili bomba supaya sentiasa berkedaan baik dan berfungsi," katanya.
Beliau berkata kempen berkenaan berperanan memastikan pili bomba tidak dihalang oleh sebarang objek seperti pasir, kayu, besi atau bahan lain bagi melancarkan tugas pihaknya dalam sebarang operasi.
Menurut Md Salleh terdapat 19,120 pili bomba di negeri ini yang memerlukan perhatian dan penjagaan bukan sahaja pihak bomba tetapi juga orang ramai.
Pihaknya membuat rondaan memastikan pili bomba sentiasa berfungsi dan pemeriksaan di semua bangunan dan projek perumahan kerajaan dibuat dari semasa ke semasa untuk menentukan peralatan pencegahan berkeadaan baik, katanya.
No comments:
Post a Comment