Tuesday, January 10, 2012

T-Team Mahu Benam Kedah Untuk Dapat Mata Pencetus Semangat

Pemain-pemain pasukan T-Team yang akan memulakan kempen bola sepak Liga Perdana dengan menentang Kedah malam ini tidak sabar untuk membenam pasukan utara itu untuk mendapatkan mata penuh.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata anak buahnya kini mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mendapatkan mata pembakar semangat bagi meneruskan perlawanan akan datang dalam kempen Liga Perdana.

"Semangat mereka begitu kental tambahan pula dengan kehadiran pemain import untuk membaham pasukan Kedah dalam perlawanan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Syah Selasa ini," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata T-Team akan menggunakan sepenuhnya khidmat pemain penyerang iaitu Zacharia Simokonda (Zambia) bekas pemain Perlis untuk merobek gawang Kedah.

Yunus bagaimanapun mengingatkan anak buahnya jangan memandang ringan keupayaan pasukan Kedah kerana pasukan lawan itu merupakan barisan pemain yang terbaik dalam liga musim ini.

Beliau berkata kesebelasan utama pasukan T-Team yang akan diturunkan akan diumumkan sebelum perlawanan dimulakan kerana banyak kemungkinan boleh berlaku ke atas pemain dalam tempoh sebelum perlawanan dimulakan.

"Bagaimanapun saya sudah ada bayangan kesebelasan yang akan diturunkan dalam perlawanan itu nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment