Pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan prestasi yang lebih baik sepanjang tahun lalu dengan kadar sabitan kes melibatkan pesalah rasuah sebanyak 74 peratus.
SPRM dalam satu kenyataan media semalam menjelaskan bahawa sejak dinaikkan taraf daripada Badan Pencegahan Rasuah (BPR) kepada SPRM pada 2009, kadar itu (74 peratus) adalah pencapaian paling tinggi berbanding 71 peratus pada tahun 2010 dan 54 peratus (2009).
Menurut kenyataan itu, jumlah denda yang dikenakan kepada para tertuduh oleh mahkamah di seluruh negara tahun lalu berjumlah RM10,891,145 berbanding dengan RM9,495,555 pada 2010.
"Antara punca kejayaan ini ialah hasil daripada tertubuhnya Mahkamah Sesyen Khas yang membicarakan kes rasuah pada 16 Februari 2011. Ia telah mempercepatkan perbicaraan kes di mahkamah dan sekali gus membolehkan saksi-saksi dapat mengingati kejadian dengan lebih tepat dan mengurangkan jumlah saksi yang berpaling tadah,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, kejayaan ini turut dibantu peruntukan baru dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 mengenai peranan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan yang memantau pengurusan SPRM.
Anggota jawatankuasa dan lembaga berkenaan terdiri daripada pakar dari dalam dan luar kerajaan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, undang-undang dan wakil daripada parti politik termasuk daripada pembangkang.
Antara kejayaan utama SPRM tahun lalu adalah sabitan kes bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo yang disabitkan dengan hukuman penjara 12 bulan.
Dr. Mohamad Khir, 46, didapati bersalah terhadap tuduhan mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam, lima tahun yang lalu.
No comments:
Post a Comment