Kesemua rumah yang didirikan secara haram di Kampung Geliga Besar, Kemaman termasuk 14 buah yang terjejas teruk akibat kejadian ombak besar baru-baru ini akan dirobohkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya juga akan memastikan tidak ada lagi penduduk yang akan dibiarkan tinggal di situ dan tapak serta rumah baru akan dibina untuk mereka berpindah.
“Sebelum ini ada sesetengah penduduk yang kita bagi tanah tetapi mereka jual. Ada juga yang berpindah tapi rumah sedia ada mereka sewakan. Tetapi selepas ini kita akan pastikan tidak akan ada lagi penempatan di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat kanak-kanak mangsa langgar lari di Kampung Kebor Besar, Manir dekat sini, kelmarin.
Sementara itu, menurutnya, tindakan sama turut dilakukan kepada 46 keluarga yang menetap di Kuala Besut, Besut yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
“Bezanya mereka tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan kita akan pindahkan mereka ke sebuah rumah flat yang mempunyai 50 unit rumah bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.
Namun katanya, projek pembinaan itu mungkin mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk disiapkan.
Dalam pada itu, menurut Ahmad, mengenai keadaan jalan di kawasan peranginan Teluk Lipat, Dungun yang rosak akibat kejadian sama jelasnya, peruntukan sebanyak RM350 juta diperlukan bagi membina benteng pemecah ombak.
“Sebelum kejadian ini, perancangan dan kajian telah dibuat namun kerajaan negeri tidak mampu dan terpaksa bergantung pada kerajaan pusat. Apabila keadaan ini berlaku, kita perlu ambil tindakan segera.
“Mungkin ada projek terpaksa dikorbankan,” katanya.
Beliau juga melahirkan kerisauan jika kejadian itu merebak hingga ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun.
Namun jelasnya, kerja-kerja penambakan sedang dilakukan namun ia melibatkan peruntukan kecil yang tidak dapat membaik pulih keseluruhan kerosakan tersebut.
No comments:
Post a Comment